fbpx
Yusoff Zaki

Berang isteri mahu balik kampung, lelaki sanggup racun anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEAUFORT – Ekoran berang isteri hendak pulang ke kampung, seorang lelaki sanggup memberi racun rumput kepada anak perempuan mereka yang berusia lima tahun dalam kejadian di Kampung Bundu, Kuala Penyu Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, suspek berusia 43 tahun itu turut dipercayai bertindak mencekik mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suami dan isteri terbabit.

“Suspek dikatakan membantah kemahuan isterinya yang mahu pulang ke kampung bersama anak-anak ke Keningau.

“Suspek yang berang kemudiannya memberi minum air kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput kepada anaknya.

“Perkara terbabit hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Yusoff Zaki menyatakan suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik  mangsa.

Beliau berkata, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.

Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak).-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN