SEREMBAN – Seorang anggota polis mengalami kecederaan patah kaki kiri apabila dilanggar sebuah van yang pemandunya enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan polis dalam satu kejadian di Taman Cengal Utama, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi, semasa anggota MPV sedang bertugas membuat rondaan di sekitar kawasan Kampung Sentosa Paroi telah terserempak dengan sebuah van jenis Nissan Vanette yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak berhenti selepas diarahkan.
Menurutnya, anggota MPV meminta bantuan dan URB 1 Balai Senawang sampai untuk menberikan bantuan.
“Semasa mengekori sehingga sampai di kawasan Taman Cengal Paroi, saspek telah membuat pusingan U dan telah melanggar URB 1 Senawang. Kemudian, berlaku kejar mengejar sehinggalah saspek cuba membuat pusingan U lagi sekali dan telah melanggar kereta MPV sehingga mengalami kerosakan.
“Kemudian, saspek telah hilang kawalan dan telah melanggar tiang elektrik. Saspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Mohd. Said berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menjumpai batang kayu yang panjangnya lebih kurang 120cm dan dipasang dengan sebilah sabit panjang lebih kurang 37cm.
Malah menurutnya, pemeriksaan pada cukai jalan yang tertampal pada cermin hadapan kenderaan dan nombor pendaftaran yang digunakan saspek juga adalah palsu.
“Pemeriksaan tubuh saspek pula mendapati terdapat beg silang warna hitam yang mengandungi sebotol kaca yang diubahsuai sebagai alat untuk menghisap dadah dan dua tiub straw berwarna putih berjalur biru yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan yang disyaki dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 0.75 gram.
“Suspek didapati positif morphine dan mempunyai beberapa rekod jenayah.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, seorang anggota URB telah mengalami kecederaan patah kaki kiri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987.
“Bagi kesalahan membabitkan dadah, saspek disiasat di bawah Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
Menurutnya, suspek direman selama 4 hari bermula hari ini.
“Oleh itu, diingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama sekiranya diminta oleh penjawat awam tanpa menghalang tugas penjawat awam. Orang awam juga perlu sedar setiap undang-undang yang digubal ada kebaikannya.-K!ONLINE