PERASAAN lelaki berusia 52 tahun itu mula gelisah saat melangkah masuk ke dalam paddock bernombor 15 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor.
Datuk Dr. Rosli Idris kelihatan sudah tidak sabar untuk menunggang motosikal jenis BMW S1000 RR yang baru dibelinya untuk mengeliling litar sepanjang 5.543 kilometer (km) itu.
Apabila melihat jam di dinding semakin menghampiri pukul 1 tengah hari, Rosli terus bergegas memakai kelengkapan penunggangan seperti sut pakaian keselamatan, kasut kulit, sarung tangan serta topi keledar bertutup.
Sebaik siren dibunyikan sebagai tanda litar dibuka, Dr. Rosli yang juga seorang doktor perubatan terus berjalan ke arah motosikalnya sebelum meluncur laju masuk ke litar.
Pada dua pusingan awal lelaki berasal dari Temerloh, Pahang itu dilihat menunggang motosikalnya secara santai bagi membolehkannya menyesuaikan diri dengan litar serta memanaskan tayar.
Selepas memasuki pusingan ketiga, dia dilihat memecut laju sehingga mencecah kelajuan 280km/jam di laluan lurus sepanjang sepanjang 2.61km.

Meskipun bahang trek pada hari berkenaan mencecah suhu 40 darjah Celsius, namun itu bukan penghalang kepada Rosli untuk melengkapkan 20 pusingan dalam tempoh dua jam.
Begitulah keseronokan yang diperoleh Rosli berserta 139 penunggang motosikal berkuasa tinggi lain ketika menyertai acara Tebuan 52 Trackday (T52T) baru-baru ini.
“Saya berasa sangat teruja dapat kembali beraksi dalam SIC selepas beberapa bulan tidak dapat melakukannya.
“Menerusi aktiviti ini, saya dapat beraksi dalam litar sebenar serta memecut lebih laju tanpa perlu terikat dengan undang-undang jalan raya biasa,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
T52T merupakan acara bulanan yang dianjurkan sebuah organisasi dikenali sebagai Afbatni Resources bagi mengumpulkan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk beraksi dalam SIC.
Menerusi acara tersebut, para peserta berpeluang menunggang motosikal mereka mengelilingi litar selama dua jam mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan SIC.
Rosli memaklumkan, dia mula terlibat dengan aktiviti menunggang di dalam SIC sejak dua tahun lalu bagi menguji kemampuan diri dan jentera dua rodanya.
Dia berkata, menunggang di dalam litar menuntut tumpuan dan fokus lebih tinggi memandangkan perlu mengawal motosikal pada kelajuan tinggi melalui selekoh mencabar.
“Di sini saya berpeluang menguji kemahiran mengendalikan motosikal pada kelajuan tinggi. Kalau di luar, saya tidak boleh berbuat demikian kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Walaupun menunggang pada kelajuan tinggi, namun ciri-ciri keselamatan di litar ini sangat tinggi. Jadi, risiko untuk mengalami kecederaan teruk ketika kemalangan adalah lebih rendah,” tegasnya.
Ceritanya lagi, menunggang di SIC cukup mencabar terutamanya di selekoh satu dan dua kerana terpaksa memperlahan motosikal secepat mungkin selepas memecut laju.

Dia mengambil masa hampir setahun untuk memahirkan diri dengan selok-belok litar berkenaan sebelum dapat menunggang mengikut garisan pelumba yang betul.
“Saya ingin membuktikan umur yang lanjut bukanlah penghalang kepada saya untuk beraksi seperti penunggang muda lain. Selagi ada keinginan, sesiapa sahaja boleh beraksi di litar ini,” katanya.
Pada penganjuran T52T pada bulan lalu, seramai 140 penunggang motosikal berkuasa tinggi mengambil bahagian yang dipecahkan kepada dua sesi bagi mengelakkan kepadatan di dalam litar.
Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM350 seorang bagi membolehkan mereka beraksi selama dua jam di dalam litar. Yuran tersebut termasuk makanan dan barangan cenderamata daripada T52T.
Penganjur T52T, Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustafa memaklumkan, tujuan utama penganjuran acara berkenaan adalah untuk mengeratkan silaturahim antara penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Jelasnya, ia juga diharap dapat membantu peserta meningkatkan kemahiran mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi ekoran kekerapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang aktiviti merentas negeri.
“Kami sedar ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi ini tidak boleh melakukan aktiviti konvoi ke luar kawasan seperti dilakukan sebelum ini. Dengan adanya acara seperti ini, sedikit sebanyak mereka dapat melepas gian itu.
“Dalam acara ini, peserta boleh menunggang motosikal pada kelajuan maksimum serta mengambil selekoh tajam dengan lutut mencecah litar tanpa perlu ada rasa bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain, “ tegasnya.
Dia yang juga seorang usahawan menambah, acara T52T juga dapat membantu menjauhkan penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada aktiviti tidak sihat seperti lumba haram.

Katanya, terdapat penunggang yang terlibat dalam aktiviti negatif atas alasan untuk menguji kemampuan jentera dan kemahiran menunggang masing-masing.
“Kami tidak mahu golongan ini terus hanyut dengan perlumbaan haram. Dengan adanya acara begini mereka boleh uji jentera dan kemahiran di dalam trek kerana lebih selamat,” tegasnya.
Sepanjang dua jam acara T52T berlangsung, para peserta bebas untuk keluar masuk ke dalam litar. Peserta juga dibenarkan untuk memintas antara satu sama lain bagi menghadirkan rasa lebih seronok sewaktu beraksi di dalam litar seperti seorang pelumba profesional.
Mohd. Shahrul menjelaskan, acara T52T sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara.
Katanya, pihaknya berjaya mengumpul peserta dalam waktu singkat iaitu dalam tempoh dua hari selepas penyertaan T52T dibuka kepada semua pemilik motosikal 600cc ke atas.
“Hasil daripada sambutan luar biasa yang diterima ini menunjukkan bahawa semakin ramai penunggang motosikal sedar akan bahaya menunggang laju di atas jalan raya biasa.
“Di SIC, mereka hanya perlu mengikut undang-undang di litar. Kami turut menyediakan pasukan perubatan dan marshal bagi memberi bantuan segera sekiranya berlaku kemalangan.
“Beberapa peserta T52T terlibat dalam kemalangan, namun tidak ada kecederaan yang serius kerana litar ini mempunyai kelengkapan mengurangkan impak kemalangan,” katanya.
Dia menambah, penyertaan T52T boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu peserta kali pertama beraksi di litar, peserta regular serta pelumba yang ingin menguji jentera bagi menyertai perlumbaan.
Mohd. Shahrul berkata, pihaknya menugaskan beberapa individu untuk membantu memberi tunjuk ajar kepada peserta yang pertama kali menunggang di SIC.
“Mereka yang pertama kali perlu tahu beberapa perkara asas dalam litar. Misalnya, cara mengambil selekoh serta laluan yang betul ketika menunggang di litar.
“Seseorang penunggang baharu boleh mahir dan mempunyai keyakinan ketika berada dalam litar selepas menyertai acara T52T sekurang-kurangnya tiga kali,” ujarnya.














