fbpx
Dua daripada lima individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru, malam kelmarin. - Foto: IHSAN POLIS

Lima mat rempit ditahan memandu berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tindakan sekumpulan mat rempit melakukan aksi berbahaya seperti menunggang dengan laju, bergerak secara ‘zig-zag’ dan melakukan aksi ‘wheely’ membawa padah apabila lima daripada mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Skudai-Pantai Lido, di sini pada pukul 11 malam, kelmarin.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 23 tahun.

“Operasi itu dijalankan kerana lokasi berkenaan telah menjadi ‘hotspot’ kumpulan mat rempit untuk berlumba dan melakukan aksi berbahaya.

“Dalam operasi itu, polis menahan lima lelaki yang melakukan aksi bahaya di jalan awam sehingga mendatangkan bahaya dan gangguan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal dibuat mendapati empat daripada lima individu yang ditahan tidak memiliki lesen memandu.

“Dalam operasi tersebut, polis turut menyita sebuah kereta dan lapan motosikal selain mengeluarkan 15 saman membabitkan 26 kesalahan.

“Antara kesalahan itu termasuklah tidak memiliki lesen, ubah suai struktur kenderaan dan ekzos,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib sehari sehingga lima tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN