PETALING JAYA – Pelakon Fizo Omar menggesa segelintir netizen supaya tidak berfikiran kolot dan percaya tentang suntikan vaksin yang boleh menyebabkan bahagian lengan yang disuntik itu bertindak seperti magnet.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 35, terpanggil untuk bersuara selepas tular dalam laman sosial seorang lelaki yang mendakwa magnet akan melekat pada bahagian suntikan individu yang sudah menerima vaksin.
“Cuba fikir waras. Cuba jangan kolot sangat. Cuba gunakan akal. Siapa yang buat viudeo itu cuba buktikan. Kita sama-sama nak melawan dan banteras Covid-19.
“Kerajaan sudah beli vaksin berbilion dan bawa masuk ke Malaysia. Kerja kita pergi cucuk sahaja. Anda buat video dan menakut-nakutkan masyarakat kenapa?” katanya.
Berhubung dakwaan mengatakan bahagian lengan yang disuntik itu boleh bertindak seperti magnet, Fizo dengan tegas mencabar individu terbabit untuk membuktikan kebenarannya.
“Jangan percaya video itu. Karut!” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Dalam pada itu, Fizo yang sudah menerima suntikan dos pertama vaksin pada minggu lalu meminta masyarakat supaya jangan percaya pada sebarang niat buruk untuk menggagalkan misi kerajaan memberi suntikan vaksin kepada masyarakat.
“Ada ke patut cakap dalam vaksin yang disuntik itu ada cip untuk kesan kita dan macam-macam lagi benda dalam vaksin itu. Cubalah fikir logic sikit. Guna akal boleh tak?
“Maaf perkara maca mini saya tidak boleh terima. Kita semua mahu tamatkan Covid-19, jadi tidak wajar ada isu seperti ini yang boleh menggagalkan misi kita sendiri,” ujarnya.
Di kesempatan itu juga, pelakon yang pernah membintangi drama Pengantin Satu Malam itu turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang berkongsi videonya dengan niat untuk menyedarkan masyarakat tentang keperluan menyuntik vaksin.
Malah, untuk meyakinkan orang ramai tentang kesan pengambilan vaksin, Fizo turut memberitahu bahawa dia berada dalam keadaan baik selepas menerima suntikan dos pertama vaksin beberapa hari lalu.
“Setakat ini selepas saya dan mak ambil suntikan vaksin lima hari lalu, okay saja. Tidak ada kesan sampingan pun. Jangan percaya semua ini dengan perkara yang karut,” katanya.
Fizo antara selebriti tanah air yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis AstraZeneca pada minggu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. -K! ONLINE














