fbpx

Dolla bersama nikmati Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Dolla.

MESKIPUN negara masih dilanda ‘perang’ Covid-19 dan seluruh negara berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua itu bukanlah halangan untuk empat gadis cantik iaitu Sabronzo, Syasya, Tabitha Ariel Lam (Tabby) dan Angelina Chai Ka Ying (Angel) meraikan hari lebaran dengan ceria.

Memulakan topik raya bersama gadis-gadis jelita berpaksikan nama Dolla, sudah pastilah dua ahlinya Sabronzo dan Syasya yang paling teruja.

Lebih teruja, tahun ini mereka berpeluang berkongsi kegembiraan hari lebaran bersama dua ahli mereka yang bukan beragama Islam iaitu Tabby dan Angel.

KEMUNCULAN lagu raya sulung, Raya Raya Raya meninggalkan satu momen untuk kumpulan Dolla yang baru setahun jagung bergelar penyanyi. – Foto ZULFADHLI ZAKI dan ihsan Universal Studio.

Sabronzo rindu kampung

Bercerita tentang hari raya, Sabronzo atau nama sebenarnya Sabrina Rusli antara ahli yang paling teruja berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri di kampung halaman, Pasir Puteh, Kelantan.

Mengakui hatinya meronta untuk pulang ke kampung, dia bagaimanapun tetap akur apabila kerajaan melaksanakan PKP pada musim hari raya.

“Siapa yang tidak sedih apabila tak dapat pulang berhari raya di kampung. Lain suasananya dengan sambutan di bandar.

“Biarpun tak dapat beraya di kampung, Dolla tetap sehati sejiwa pada hari raya pertama,” katanya teruja.

Sama seperti orang lain, wanita berusia 26 tahun itu juga memiliki memori raya yang sangat dirindukan.

“Saya tiada memori yang teruk atau kelakar tetapi saya sangat rindukan untuk beraya dengan saudara-mara yang sudah lama tak bertemu.

“Selalunya kami berkumpul beramai-ramai pada pagi raya tetapi sudah masuk dua tahun tidak dapat beraya bersama.

“Itu yang paling dirindukan. Apa pun, saya tak rindu langsung memori tersekat dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya sepanjang pulang ke Kelantan, seksa!” katanya berseloroh kepada HibGlam.

DOLLA dianggotai oleh (dari kiri), Syasya, Angel, Tabby dan Sabronzo.

Syasya si budak bandar

Sepanjang berbual bersama pemilik nama penuh Norsyasya Afiqah Shanrizal pula, pengalaman rayanya berbeza 180 darjah daripada Sabronzo.

Tutur Syasya yang sering diberi jolokan sebagai Lisa Malaysia, memori raya paling dirinduinya ialah kawasan bandar menjadi lengang kerana ramai yang pulang ke kampung.

“Mungkin ada sesetengah orang anggap mengapa perkara itu dijadikan memori, namun sebagai orang bandar, momen sebegitu yang paling jarang dialami.

“Apabila semua pulang ke kampung, Kuala Lumpur menjadi sangat lengang sampaikan kami sekeluarga pernah bergambar di atas jalan raya sebab tiada kenderaan (ketawa),” ujarnya.

Syasya, 20, memberitahu tahun ini sedikit berbeza kerana Tabby dan Angel turut berpeluang meraikan hari lebaran.

“Sebenarnya tidak banyak perbezaan pun sambutan hari raya kali ini. Tahun lalu semua ‘terkurung’, tahun ini kita berkurung lagi,” katanya.

Tambah Syasya, sekiranya diberi peluang, dia dan Sabronzo memasang hajat untuk mengadakan rumah terbuka untuk kelab peminatnya, Idola tatkala ada kelonggaran berbuat demikian suatu hari nanti.

“Itu impian kami sekiranya berpeluang.Apapun, semuanya bergantung kepada situasi semasa,” katanya lagi.

DOLLA menyimpan angan-angan mahu mengadakan rumah terbuka bagi meraikan sokongan peminat terhadap mereka.

Angel, Tabby cuba berpuasa

Berkongsi pengalaman sepanjang Ramadan lalu, Angel atau nama sebenarnya Angelina Chai Ka Ying memberitahu, walaupun dia dan Tabby merupakan penganut Kristian, mereka sangat kagum dan menghormati

Sabronzo dan Syasya yang menjalani ibadat puasa selama 30 hari.

Bagi merasai pengalaman sama, dia dan Tabby turut belajar berpuasa selama beberapa hari pada Ramadan lalu.

“Rupa-rupanya bukan mudah hendak menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Biarpun tidak berjaya, kami tetap mencuba kerana Dolla selalu bersama dalam segala hal,” tuturnya semangat.

Sementara itu, Angel berkata, tahun ini merupakan pengalaman pertama dia dapat beraya bersama Dolla.

“Walaupun diraikan sederhana, rasanya tetap meriah. Masing-masing bergambar dan buat panggilan video pada hari raya,” katanya lagi.

EMPAT wanita dengan nama pentas Dolla ini teruja dapat beraya sebagai sebuah kumpulan.

Raya Raya Raya

Pada masa sama, Tabitha Ariel Lam atau dikenali sebagai Tabby turut meluahkan keterujaan apabila lagu raya pertama Dolla iaitu Raya Raya Raya mendapat sambutan baik daripada pendengar.

Lagu berentak catchy tersebut merupakan ciptaan bersama beberapa komposer dan penulis lirik seperti Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique.

Lebih menyeronokkan, Raya Raya Raya turut mencatat sohor kini dalam YouTube sebagai antara lagu raya kontemporari kegemaran ramai.

Berbicara mengenai lagu istimewa meraikan Aidilfitri tersebut, Tabby tidak menyangka Dolla akhirnya mempunyai lagu raya sendiri.

“Saya tidak menyambut hari raya tetapi apabila mendapat peluang untuk melancarkan lagu raya, pastinya sesuatu yang tidak seharusnya dilepaskan,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI