fbpx

Tokoh guru setia berkhidmat selepas bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorizan menerima hadiah bernilai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

PETALING JAYA – Tiada istilah berehat buat penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohammed yang terus setia mencurahkan khidmat bakti walaupun sudah bersara sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 2014.

Noorizan, 65, kini menjadi penasihat pendidikan untuk program Sekolah Amanah melibatkan lima buah sekolah menengah dan rendah di Jeli, Kelantan yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid.

“Ini merupakan tahun kelima saya berkhidmat di Jeli selepas setahun bertugas untuk program yang sama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Cyberjaya.

“Program tersebut meliputi bimbingan dan latihan untuk membantu kepimpinan sekolah, mengasah kebolehan murid dalam akademik di samping mencungkil potensi mereka dalam bidang kokurikulum dan memperkasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan berkata, beliau gembira apabila melihat program itu membuahkan hasil apabila murid-murid yang diasuh berani tampil ke hadapan dan petah berkomunikasi sekali gus mengorak langkah ke arah pembelajaran abad ke-21.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021 dalam perutusan khas sempena Hari Guru 2021 hari ini.

Beliau turut mengumumkan dua penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021, Datuk Dr. Amin Senin dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim yang kedua-duanya merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

“Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI