JERANTUT – Seorang pesara guru di sini mempunyai lebih 200 kad raya daripada semua raja-raja Melayu dan Sultan Brunei selain pemimpin-pemimpin negara yang dikumpulnya sejak 2002.
Ia sekali gus menjadikan Salehudin Mat Rasad, 60, mungkin satu-satunya individu di negara ini yang menyimpan koleksi kad raya yang cukup istimewa itu.
Salehudin berkata, antara koleksi yang tersimpan termasuklah 11 kad Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang diterima dari 2007 sehingga 2018.
Selain itu, beliau juga menerima kad hari raya lima tahun berturut-turut daripada Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin dan tiga balasan kad raya daripada Yang di-Pertuan Agong ke-14, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Saya begitu teruja dan gembira apabila kad-kad raya yang diutuskan kepada raja-raja Melayu dan Sultan Brunei dibalas dengan kad yang sungguh menarik berserta gambar-gambar raja dan sultan.
“Pada tahun ini, saya ada juga mengutuskan kad raya kepada raja-raja Melayu dan masih menunggu balasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pedah Jaya di sini baru-baru ini.

Salehudin memberitahu, beliau mula mengutus kad ucapan hari raya kepada raja-raja, perdana menteri dan timbalan perdana menteri ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di Maran dari 2002 sehingga 2018.
“Ketika bergelar guru, saya menghantar dua keping kad raya iaitu satu secara peribadi dan satu lagi saya minta pelajar menandatangani dan menghantarnya sebagai usaha menanamkan semangat kesetiaan generasi muda kepada raja dan negara.
“Saya dibesarkan dengan suasana alam persilatan yang mana ketaatan kepada raja dan negara sentiasa diterapkan dalam diri sejak kecil.
“Dengan cara ini juga sebenarnya dapat menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja, sultan dan pemerintah negara,” ujarnya.
Salehudin memberitahu, kad raya kini sukar untuk diperoleh kerana orang ramai lebih gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk menghantar ucapan hari raya.
“Alhamdulillah terdapat sebuah kedai buku di Temerloh masih menyimpan kad-kad raya lama yang boleh saya beli untuk dikirimkan kepada raja-raja Melayu pada tahun ini.
“Koleksi kad raya daripada raja-raja dan sultan amat bermakna dan bernilai buat saya. Kad ini akan disimpan dengan baik untuk tatapan anak-anak cucu,” ujarnya.














