PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Da’i Farhan bernikah semula dengan bekas isteri, Fatin Nurul Ain Mat Aris 1 Syawal lalu.
Penyatuan semula atas nama suami isteri itu diumumkan Fatin atau nama lengkapnya, Fatin Nurul Ain Mat Aris menerusi hantaran di Instagram Story.
Menerusi hantaran sama, Fatin turut mengharapkan orang ramai mendoakan agar rumah tangga yang dibina kali kedua kekal hingga ke akhir hayat.
“Saling bermaafan memberi ketenangan Itulah akhlak Rasulullah. Hati yang memaafkan adalah hati yang bersangka baik dengan apa yang berlaku.
“Semoga apa yang berlaku sudah tertulis, tiada kebaikan untuk memendam rasa.
“Semoga masa dan hari-hari yang mendatang melupakan memori lalu. Doakan kebahagiaan kami dunia dan akhirat, ” katanya dalam hantaran berkenaan.
Terdahulu, Da’i Farhan mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan sudah berkahwin dengan seorang janda beranak lapan dikenali sebagai ‘Dr.Erin’ di Makkah pada November 2019.
Perkahwinan yang didakwa berlangsung secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama itu mendapat kecaman hebat netizen, tambahan Fatin ketika itu sarat mengandung anak kedua mereka.
Da’i Farhan menceraikan Fatin dengan talak satu pada 3 Disember 2019.
Pelbagai spekulasi dan kontroversi tercetus dan kemudian Farhan mengakui sudah menceraikan Fatin dengan talak satu melalui rakaman suara aplikasi WhatsApp.
Pasangan itu mempunyai dua cahaya mata.
Rumah tangga Da’i Farhan dengan Dr Erin atau nama sebenarnya, Noorainul Naqim Mohd Radzi bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila hanya bertahan lima bulan. – K! ONLINE