PETALING JAYA – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut dalam satu kemalangan selepas hilang kawalan dan tercampak dari motosikal yang ditunggangnya di Jalan Sri Rampai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, mangsa, Mohamad Razali Mohd Isa, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang tinggal di sekitar Setapak itu juga memiliki kad OKU di bawah kategori ketidakupayaan mental.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa menunggang motosikal dari arah Genting Klang menghala ke Desa Rejang.
“Mangsa didapati melawan arus sebelum hilang kawalan akibat mengelak sebuah kereta yang berada di laluan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa yang hilang kawalan tersebut telah tercampak dan terkena besi pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan terbabit, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE














