fbpx
SITI Nordiana muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Cukup Derita Itu yang menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk drama berjudul sama.

Cukup Derita Itu rintihan pilu Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGHASILAN lagu runut bunyi sememangnya menuntut penjiwaan yang selari dengan jalan cerita sesebuah drama mahupun filem. Hakikatnya, perjalanan ceritanya perlu cukup jiwa dan rasa untuk melengkapkan keseluruhan mood naskhah berkenaan.

Justeru, penyanyi Siti Nordiana yang tampil dengan lagu baharu berjudul Cukup Derita Itu menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu berkenaan. Mendapat sentuhan komposer hebat Tam Spider dan liriknya yang dinukil Siti Rosmizah, ternyata gabungan mereka cukup kuat untuk memberi kelebihan terhadap karya tersebut.

Lagu nyanyian penyanyi yang mesra disapa Nana itu menjadi runut bunyi drama yang menggunakan judul sama, Cukup Derita Itu lakonan pelakon popular seperti Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P. Ramlee dan Balkisyh Semundur Khan.

Karya tersebut diarahkan oleh Along Kamaludin dan ceritanya diadaptasi daripada novel Siti Rosmizah sendiri.

MENERUSI single terbaharu berjudul Cukup Derita Itu, Nana menjalin kerjasama dengan komposer dan penyanyi hebat iaitu Tam Spider serta penulis novel terkenal, Siti Rosmizah.

Cabaran

Meskipun kehebatannya tidak perlu dipertikaikan lagi, Nana tetap berdepan cabaran tersendiri. Apatah lagi, dia sendiri tahu betapa pentingnya peranan lagu runut bunyi yang menjadi nadi kepada keberkesanan sesebuah drama.

“Lagu runut bunyi perlu ada pendekatan tersendiri dan itulah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan Cukup Derita Itu menjadi. Pertama sekali, semestinya saya kaji terlebih dahulu keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk mendapatkan gambaran yang tepat.

“Memandangkan drama tersebut merupakan naskhah yang menuntut permainan emosi dan ada babak sedih, saya perlu tekankan dari aspek itu juga.

“Saya salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya.

“Paling penting, secara peribadi saya sangat berbesar hati dapat menyanyikan karya nukilan Tam. Dia sememangnya komposer yang begitu teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu berkenaan dengan emosi tepat,” katanya.

BAGI menjiwai rasa sedih, Nana mengkaji keseluruhan plot dan jalan cerita drama Cukup Derita Itu sebelum menumpahkan emosi dalam runut bunyinya.

Sentiasa mengutamakan ketelitian dalam karyanya, Tam mengakui lagu Cukup Derita Itu sebagai satu tugasan cukup besar buat dirinya. Sebelum beralih kepada proses rakaman, perbincangan mendalam dengan Siti Rosmizah dibuat untuk memastikan aura karya berkenaan mampu setanding dengan jalan cerita drama.

“Walaupun lagu tersebut hanya berdurasi beberapa minit, penghasilannya perlu dilakukan dengan cukup teliti. Terutama dari segi melodi, kena menepati keseluruhan mood serta perjalanan kisah yang ingin disampaikan.

“Saya memuji bagaimana Siti Rosmizah menerangkan secara mendalam dan terperinci berkenaan aspek penceritaan. Sekali gus, sangat membantu saya menghasilkan lagu yang boleh meruntun jiwa ramai sebaik mendengar serta menghayati bait liriknya,” katanya.

Lagu Cukup Derita Itu sudah tersedia menerusi semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula pukul 12 tengah malam tanggal 4 Mei lalu.

Sementara bagi liriknya pula, boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari yang sama pukul 9 malam.

POPULAR