fbpx
KISAH Siti dan Neelofa menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan netizen sepanjang minggu ini.

Artis langgar SOP, netizen bengang naik muak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSAN. Muak dan berang. Itu tiga perkataan yang paling tepat mewakili perasaan kebanyakan netizen terhadap segelintir selebriti tanah air dalam tempoh terdekat ini.

Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Begitu juga dengan perasaan dan sifat negatif netizen yang timbul bukan secara paksaan malah disebabkan persekitaran dan tindakan sesetengah selebriti itu sendiri.

Selebriti berniqab yang juga usahawan berjaya, Neelofa antara yang paling ‘ikonik’ diperkatakan berhubung isu prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKPB (Bersyarat).

Namanya terjulang seiring statusnya yang kini menyandang gelaran isteri kepada Haris Ismai atau PU Riz sejak 27 Mei lalu.

Sudah majlis pernikahannya yang tular dipanaskan dengan isu langgar SOP, perbuatannya memuat naik status dan aktiviti jalan-jalan bekerja sambil bulan madu di pulau peranginan terkenal, Langkawi mengundang padah.

Biarpun secara terang-terang Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, bersama suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 26, dinyatakan ke Langkawi atas urusan kerja, namun gambar-gambar momen yang dimuat naik 90 peratus boleh dikatakan seakan-akan berbulan madu.

Bukan cemburu apatah lagi iri hati dengan tindakan kedua-dua pengantin baru itu untuk bersiar-siar makan angin, namun rata-rata netizen mempersoalkan di manakah letaknya sensitiviti Neelofa sebagai seorang figura awam.

Ditambah pula dengan kenyataan yang sering dimuat naik dalam Instagram miliknya yang seolah-olah menghalalkan perbuatan dan tindakannya, semua itu bagai menambah minyak ke dalam api yang sedang menyala.

Selama sebulan, perdebatan dan usaha netizen memperjuangkan undang-undang SOP ternyata berhasil apabila pihak polis akhirnya mengeluarkan arahan kompaun RM60,000 selepas Neelofa terbukti bersalah.

Biarpun jumlah bayaran kompaunnya masih mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah orang, setidak-tidak ramai juga yang berasa lega apabila golongan ‘kayangan’ seperti Neelofa tidak terlepas daripada hukuman.

Namun, sudah namanya Neelofa, belum sepenuhnya padam rasa meluat netizen berhubung isu kompaun, Neelofa dan Haris pantas mengundang satu lagi perhatian dengan isu rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet.

Umum tahu mereka berkahwin dan teruja menghias rumah dengan karpet baharu, namun ketika semua orang berasa terkurung keseronokan Neelofa dan Haris di Nilai 3 tidak dipandang sebelah mata. Tular sahaja dalam media sosial, maka menghadaplah Neelofa dan Haris ke balai polis memberi keterangan.

Ketepikan kisah Neelofa, ‘jabatan netizen’ turut tersentak dengan perkongsian majlis tahnik meraikan cahaya mata kedua penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tiada sebarang masalah untuk mengadakan atau menjayakan sesebuah majlis doa selamat atau kesyukuran, namun apa yang menjadi persoalan netizen ialah senarai tetamu kenamaan termasuk penceramah bebas datang dari luar Lembah Klang ke majlis berkenaan.

Paling dipersoalkan netizen ialah keberadaan penceramah bebas dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus. Dari situ bermulalah caci-maki maki dan kata-kata kurang enak dihamburkan terhadap penyanyi nombor satu negara itu.

Tidak hanya mendiamkan diri, Siti menerusi Instagramnya memuat naik satu kenyataan akhbar bagi memperbetulkan semula salah faham yang berlaku, sekali gus menjawab pertuduhan yang dilemparkan netizen kepada keluarganya.

“Berhubung isu yang sedang tular, sebagai tuan rumah, saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik yang dianjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

“Kami ingin memaklumkan tiada aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya, individu itu bersetuju hadir kerana kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Hampir reda, suhu panas ‘hati’ bagaimanapun kembali bergejolak sejurus satu kemas kini status dalam InstaStory Siti yang disifatkan ramai sebagai sindiran halus buat semua pihak mengutuk dirinya.

“Alhamdulillah, saya patut tengah seronok ni, kumpul pahala banyak-banyak sepuluh malam terakhir ni. Kata Ustaz bila berhadapan dengan dugaan ini. Dapat pahala free (percuma) berganda-ganda pula itu. Alhamdulillah,” tulisnya.

Terlalu selesa kerana percaya tidak melakukan kesalahan, namun percaturan Siti memakan diri.

Entah sampai bila agaknya episod selebriti Malaysia di negara ini yang seolah-olah kebal daripada undang-undang Malaysia akan berakhir dengan tenang.

BERITA BERKAITAN