fbpx
REKA bentuk hadapan SUV ini tampak bergaya dan sporty.

Kompak versatil GLB 35

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lalu penulis telah diberi peluang oleh Mercedes Benz Malaysia (MBM) untuk memandu uji model GLB 35 AMG selama beberapa hari.

Peluang itu memang mengujakan memandangkan model GLB 35 AMG diuar-uarkan Mercedes Benz sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling versatil jenama tersebut.

Bagaimanapun, penilaian awal di mata penulis sebaik sahaja mengambil SUV berkenaan di Puchong, Selangor, rasanya tidak banyak perbezaan dan ia mirip rakan-rakannya dari jenama lain.

Jika kita lihat pada luaran, beberapa bahagian sahaja yang berbeza dari segi kosmetik seperti rim bersaiz 20 inci dan kit badan serta gril berbanding dengan varian GLB 200 dan GLB 250.

Apabila butang penghidup enjin ditekan, di sini bermula aura yang menaikkan adrenalin sesiapa sahaja yang memandu GLB 35 AMG kerana bunyi deruman enjin 2.0 liter turbo itu jelas kedengaran.

GLB 35 menggunakan transmisi lapan kelajuan dual klac dan dilengkapi dengan sistem 4matic pacuan semua roda.

SUV kompak ini nampak besar, namun mudah dikendalikan.

Gabungan enjin dan transmisi itu mempu menghasilkan kuasa maksimum 306hp dan tork maksimum 400Nm. Tidak mustahil GLB 35 memberikan rasa prestasi yang mengagumkan.

Sekadar makluman, model ini mampu memecut dari pegun sehingga 100 kilometer sejam (kmj) hanya dalam masa 5.2 saat.

Selain itu, GLB 35 berpotensi memecut sepenuhnya dengan fungsi Race Start yang merupakan ciri-ciri standard.

Fungsi tersebut tetap aktif semasa memandu dan membolehkan pedal dipijak sepenuhnya.

Masuk ke ruang kokpitnya pula, tali keledar berwarna merah menyerlahkan identiti AMG pada model GLB 35 berbanding varian lain.

Kombinasi material kulit ARTICO hitam atau mikrofiber DINAMICA pada tempat duduk buket bukan sahaja memberikan imej sporty tetapi keselesaan yang diakui.

Konsep papan pemukanya tidak jauh berbeza dengan barisan Mercedes Benz yang baharu dengan pilihan lampu papan pemuka yang boleh dipilih mengikut kehendak pemandu.

Ruang papan pemukanya dihiasi dengan dua paparan skrin berukuran tujuh inci serta paparan media dengan skrin boleh sentuh.

Stereng GLB35 turut dilengkapi butang sesentuh pada kiri dan kanan untuk memudahkan kawalan konfigurasi.

RUANG dalamannya di bahagian pemanduan nampak luas dan selesa yang banyak disumbangkan oleh ketinggian bumbungnya dan binaan bawah yang agak rendah.

Pada penulis, ciri-ciri ini mudah tetapi perlukan masa kerana setiap model kenderaan tidak sama, namun itu bukan masalah yang dianggap besar.

Selain itu, GLB 35 turut hadir dengan port USB tetapi jenis C. Banyak model telefon pintar sudah menggunakan ciri ini tetapi bagi penulis adalah lebih baik sediakan jenis USB yang lama juga.

Dari luaran, nampak model ini agak besar tetapi apabila memandu agak mudah untuk dikendalikan kerana turut dilengkapi dengan sistem canggih.

Antara ciri-ciri itu seperti Active Parking Assist dengan PARKTRONIC yang membantu pemandu untuk parkir kenderaan ini.

Sistem itu berfungsi apabila sensor-sensor di bumper membantu untuk menentukan kenderaan supaya dapat masuk ke tempat parkir.

RIMNYA bersaiz 20 inci.

Model ini sebenarnya 50 milimeter (mm) lebih rendah berbanding varian GLB lain. Selain sporty dan kendaliannya lebih mantap, ia akan memudahkan pengguna melangkah masuk ke dalam kenderaan ini.

Perbezaan terakhir GLB 35 dengan varian lain yang penulis ingin maklumkan ialah model ini hanya untuk lima penumpang sahaja berbanding GLB 250 dan GLB 200 yang memiliki tujuh tempat duduk.

Kekurangan barisan ketiga itu sebenarnya memberikan ruang penyimpanan barang 70 liter lebih besar berbanding GLB lain menjadikan ruang keseluruhan 570 liter.

Reka bentuk GLB ini dipercayai meminjamkan reka bentuk off-road boxy daripada SUV G-Class yang ikonik dengan bumbungnya lebih tinggi sekali gus mewujudkan ruang dalam yang lebih selesa dan luas.

Model GLB membuat debut pertamanya sebagai kereta konsep di Shanghai Motor Show pada April 2019.

Duduk di kelas pertengahan antara GLA dan GLC, model ini disasarkan kepada golongan berkeluarga dengan rekaan menarik dalam kelas B.