fbpx
AMIN berkenalan dengan Shah menerusi aplikasi perkenalan homoseksual. – GAMBAR HIASAN

K2

Dari Mahkamah Syariah: Suami zahirnya gagah tetapi batinnya songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI raut wajah tampan dengan susuk tubuh yang tegap, pasti membuatkan setiap mata terutamanya wanita ‘cair’ melihat lelaki berusia 28 tahun itu.

Karakter Amin (bukan nama sebenar) yang mudah mesra juga menjadikan dirinya mudah didampingi sesiapa sahaja termasuk orang kenamaan meskipun baru pertama kali bertemu.

Ciri-ciri tersebut juga telah membuatkan Emelia (bukan nama sebenar) terpikat dan jatuh hati dengan Amin ketika pertama kali bertentang mata dalam satu majlis di ibu kota.

Pengenalan yang bermula atas dasar kerja itu telah membawa kepada bibit cinta selama beberapa bulan sebelum berakhir ke jenjang pelamin.

Selepas berkahwin, pasangan merpati dua sejoli itu memilih untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur memandangkan masing-masing bekerja di ibu kota.

Apabila tinggal sebumbung, Emelia mula menghidu beberapa perkara pelik terhadap suaminya terutamanya sikap Amin yang terlalu menjaga penampilan.

Katanya, Amin sanggup menghabiskan masa hampir sejam untuk menyiapkan diri terutamanya memakai produk penjagaan muka dan rambut sebelum keluar dari rumah.

“Saya tahu dia seorang yang menjaga penampilan apabila keluar bekerja atau bersantai, namun saya tidak sangka sikapnya itu melebihi seorang perempuan.

“Saya tidak ada masalah terhadap isu itu. Bagi saya Amin mungkin seorang lelaki metroseksual yang amat menitikberatkan penampilan,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Jelas Emelia, hampir setiap bulan juga Amin akan berbelanja lebih separuh daripada gajinya untuk membeli pakaian, kasut, jam tangan dan produk penjagaan diri.

Perkara tersebut berlarutan selama beberapa bulan sehinggalah satu hari Emelia mula menghidu sesuatu yang janggal sewaktu membaca komen pada gambar Amin dalam media sosial.

Emelia juga berasa pelik kerana rata-rata komen pada gambar suaminya itu terdiri daripada golongan lelaki yang memiliki perwatakan sama dengan Amin iaitu menitikberatkan penampilan.

Katanya, komen-komen yang ditinggalkan itu kelihatan agak aneh kerana ramai memuji ketampanan Amin dan tidak kurang juga yang ingin berkenalan dengannya.

“Pada mulanya, saya husnuzon (bersangka baik) saja dengan komen-komen berkenaan. Mungkin kawan-kawan ketika zaman di universiti atau pejabat ingin bergurau dengan Amin.

“Tetapi apabila saya baca satu-satu komen itu, saya mula berasa janggal. Ini kerana, kalau lelaki normal tidak akan komen seperti itu melainkan gay,” katanya.

Emelia ada bertanyakan perkara tersebut kepada Amin, namun suaminya tidak memberi sebarang penjelasan bagi merungkai setiap persoalan diajukan.

Situasi itu membuatkan Emelia memberanikan diri melihat telefon bimbit Amin bagi merungkai setiap persoalan yang bermain dalam mindanya.

Emelia nyata terkejut apabila membaca perbualan antara Amin dengan seorang lelaki dalam aplikasi WhatsApp yang kelihatan sangat mesra selain berbual mengenai seks.

“Situasi ini menguatkan lagi andaian saya bahawa Amin merupakan gay atau pengamal homoseksual yang berkeinginan seks terhadap lelaki lain.

“Selepas baca perbualan itu, saya terus tangkap layar dan menghantarnya ke telefon saya sebagai bukti. Saya tidak sangka diduakan dengan lelaki,” kenangnya pada kejadian yang berlaku dua tahun lalu itu.

Selang beberapa hari kemudian, Emilia terpanggil menghubungi lelaki yang dikatakan ‘rakan’ suaminya itu bagi mengetahui sejauh mana hubungan mereka.

Ujarnya, selepas mendengar cerita daripada lelaki dikenali sebagai Shah itu telah mengukuhkan lagi telahan awal yang dibuat Emelia terhadap Amin.

“Lelaki berkenaan beritahu mereka berdua berkenalan dalam satu aplikasi homoseksual sejak beberapa tahun lalu.

“Pengenalan singkat berkenaan membuatkan mereka rapat dan sering menghabiskan masa bersama di rumah Shah sebelum Amin berkahwin dahulu,” ceritanya lagi.

Selepas mendengar penjelasan Shah, Emelia terus ke mahkamah syariah untuk menuntut cerai daripada Amin supaya mereka berpisah dengan segera.

Katanya, dia membuat keputusan berkenaan kerana tidak mahu meneruskan hidup bersama dengan seorang lelaki homoseksual.

“Selepas menceritakan hal yang berlaku berserta bukti kepada hakim, mahkamah syariah bersetuju dengan permintaan saya untuk bercerai.

“Pihak mahkamah syariah ada menasihati Amin supaya berubah dan hidup dengan fitrah alam supaya tidak terus hanyut dengan dosa dilaknat oleh Allah SWT.

“Saya betul-betul tidak sangka, lelaki yang kelihatan gagah dan macho itu merupakan seorang gay. Saya tidak menyalahkan Amin, salah saya juga kerana gagal mengesan minat songsangnya itu,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI