fbpx

Thailand jual pelancongan vaksin ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Agensi pelancongan Thailand menjual ‘pakej pelancongan vaksin Covid-19’  ke Amerika Syarikat (AS) selepas ramai penduduknya yang kaya raya tidak sanggup menunggu untuk mendapatkan pelalian, lapor akhbar South China Morning Post kelmarin.

Pelancongan tersebut memperlihatkan jurang antara negara maju seperti AS melaksanakan kempen vaksinasi dengan pantas manakala negara membangun masih menunggu untuk mendapatkan vaksin.

Syarikat pelancongan Thailand, Unithai Trip menawarkan pakej berharga antara 75,000 baht (RM9,918) hingga  200,000 baht (RM26,448) untuk perjalanan ke Los Angeles dan New York  dengan harga berbeza mengikut jarak masa antara dos pertama dan kedua.

Pemilik Unithai Trip, Rachapol Yamsaeng berkata, 90 peratus pelanggannya mahukan suntikan vaksin Pfizer yang memerlukan selang masa 20 hari bagi kedua-dua dos.

Tambahnya, satu kumpulan pelancong vaksin dijangka berlepas minggu hadapan.

Lawatan tersebut boleh memberikan keuntungan kepada agensi pelancongan Thailand yang merudum akibat pandemik Covid-19.

Rachapol berkata,  semua agensi pelancongan sedang menghadapi tempoh sukar ketika ini dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk kembali bangkit.

Jurucakap kedutaan AS di Bangkok bagaimanapun enggan memberikan komen namun laman web Jabatan Negara menyenaraikan pelancongan bermotifkan kesihatan adalah dibenarkan.

AS bukan satu-satunya destinasi yang ditawarkan Thailand. Sebuah lagi agensi, Udachi mengiklankan percutian 23 hari di Rusia untuk mendapatkan suntikan vaksin Sputnik V pada  harga 210,000 baht (RM27,764).

Program imunisasi Thailand dijangka bemula Jun ini menggunakan vaksin AstraZeneca keluaran tempatan. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN