fbpx

Rasuah: bekas Leftenan Jeneral (B) didenda RM70,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan berpangkat Leftenan Jeneral (B) didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah menerima perkhidmatan dan wang tunai RM50,000 tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan ,60, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Bagi pertuduhan pertama, jika tertuduh gagal membayar denda RM55,000 dia boleh dikenakan enam bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda RM15,000, dia boleh dikenakan tiga bulan penjara. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama Sheikh Mokhsin  didakwa telah menerima satu perkhidmatan bernilai RM10,000 dan dibayar oleh seorang pengarah urusan syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan, yang mana mempunyai kaitan dengan kerja-kerja rasminya yang dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi antara 21 dan 23 Jun 2020.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan daripada individu sama yang dilakukan di pejabatnya di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan pukul 2.30 pada 26 Jun 2020.

Bagi Kedua-dua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Terdahulu ketika rayuan, peguam Datuk Mohd. Shahrom Mohamad memohon mahkamah mengambil kira rekod perkhidmatan anak guamnya yang baik dan jasanya kepada negara.

“Tertuduh pernah terlibat dengan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq pada 1988 dan pernah menjadi Ketua Misi Kumpulan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina pada 2015.

“Tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah apabila mengaku bersalah dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dan akujanji. Dalam bulan Ramadan yang barakah dan mulia ini, kami mohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang ringan,” katanya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria bagaimanapun membantah rayuan tersebut dan menyatakan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar institusi kehakiman itu tidak dilihat seperti tidak serius dalam membendung jenayah rasuah.

“Pendakwaan juga memohon agar wang tunai RM50,000 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI