fbpx
PERTUNJUKAN air pancut ini menggunakan teknologi dari China termasuk penggunaan khidmat jurutera dari negara itu.- Foto FARIZ RUSADIO

Simfoni tarian air pancut gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA tidak sesekali menyangka bahawa terdapat pertunjukan tarian muzikal air pancut di sini.

“Bagi saya, ini merupakan salah satu tarikan baharu memandangkan di ibu kota sendiri tidak banyak lokasi pertunjukan sebegini,” ujar Nurul Huda Jamaluddin, 34, kepada K2 ketika kagum menyaksikan pertunjukan tersebut di taman 99 Wonderland Park Wildlife in the City baru-baru ini.

Nurul Huda memberitahu kunjungannya ke taman yang terletak di Selayang, Selangor itu bertujuan untuk menghabiskan masa hujung minggunya bersama keluarga.

Mengetahui kewujudan taman tersebut daripada rakan sekerjanya, Nurul Huda menyifatkan kunjungannya bagai langkah kanan kerana berpeluang menyaksikan pertunjukan indah

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan membuatkan kami sekeluarga keluar bercuti di sekitar Lembah Klang sahaja.

“Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk melawat taman ini kerana pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Tetapi kunjungan saya kali ini cukup bertuah kerana dihidangkan dengan pertunjukan tarian muzikal air pancut gergasi,” jelasnya.

Pertunjukan tarian muzikal air pancut yang dipersembahkan di situ boleh dianggap cukup istimewa kerana dipercayai yang terbesar di Malaysia.

PERSEMBAHAN air pancut yang mempesonakan.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee berkata, pertunjukan itu merupakan tarikan pelancongan terbaharu ditawarkan oleh pihaknya yang pasti mampu memukau setiap pengunjung yang hadir.

Menurutnya, ilham membawakan pertunjukan tarian muzikal air pancut itu hadir setelah dia melancong ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum pandemik Covid-19.

“Tak banyak lokasi di Malaysia yang menawarkan pertunjukan sedemikian dan atas sebab itu saya mengambil inisiatif untuk menjadikannya sebagai salah satu tarikan terbaharu di sini.

“Inisiatif ini akan memberi peluang kepada pengunjung menikmati pemandangan malam dengan panorama yang menakjubkan,” katanya.

Tambahnya, air pancut yang pihaknya bangunkan itu dipercayai terbesar di Malaysia ketika ini dengan panjang 120 meter (m) dan lebarnya pula 20m. Persembahan yang berwarna-warni seperti biru, ungu, hijau dan merah jambu itu nampak mempesonakan.

Bagi merealisasikan impiannya itu, Jeff telah membelanjakan kira-kira RM7 juta bagi kos pembinaan air pancut tersebut yang menggunakan teknologi dari China.

Bilik kawalan bagi pertunjukan tarian muzikal air pancut itu juga dijaga oleh beberapa kakitangan dan jurutera yang didatangkan dari China bagi memastikan setiap persembahan berjalan dengan lancar.

Pertunjukan tarian air pancut tersebut disepadukan dengan alunan lagu bagi memeriahkan suasana.

“Sekarang kita mempunyai hampir 30 lagu yang boleh dimainkan untuk persembahan ini di mana koreografi tarinya juga berbeza bagi setiap lagu.

“Kita mempunyai lagu tempatan iaitu lagu Melayu, lagu patriotik, lagu Kantonis, lagu Bollywood dan lagu Arab.

“Bulan ini, kita juga bersedia untuk memainkan lagu Hari Raya Aidilfitri pada setiap pertunjukan,” katanya.

JEFF membangunkan 99 Wonderland Park Wildlife in the City bersesuaian dengan minatnya terhadap haiwan dan taman.

Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan ini, pertunjukan tarian muzikal air pancut tersebut diadakan setiap hari bermula pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun, jelas Jeff, pertunjukan yang dinikmati pada masa ini boleh disifatkan sebagai percubaan dan pertunjukan secara rasmi akan diadakan pada pertengahan bulan ini seperti yang dijadualkan dengan menjanjikan persembahan yang lebih sempurna dan menarik.

Menurutnya, apabila dilaksanakan secara rasmi kelak, pertunjukan bagi hari Selasa hingga Khamis hanya diadakan untuk satu sesi iaitu pada pukul 8.45 malam.

Bagi hari Jumaat pula, dua sesi diadakan iaitu pada pukul 8 malam dan 9.45 malam.

Bagi hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, pertunjukan tersebut akan diadakan sebanyak tiga sesi iaitu pada pukul 11.30 pagi, 8 malam dan 9.45 malam.

Kesemua sesi persembahan akan mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.

Sementara itu, Jeff mengharapkan tarikan terbaharu itu akan menjadi tumpuan pengunjung di sekitar Lembah Klang dalam usaha membantu industri pelancongan domestik yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

ORANG ramai mengunjungi taman yang terletak di Selayang, Selangor ini akan dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik termasuk pada waktu malam.

Menurutnya, dia memahami ramai yang tidak dapat melakukan aktiviti riadah atau melancong kerana tidak boleh merentas negeri ekoran pelaksanaan PKP bagi membendung penularan pandemik tersebut.

“Mereka yang tinggal di Lembah Klang boleh menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk mereka beriadah di samping melihat pertunjukan tarian muzikal air pancut.

“Kami amat menekankan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana diwajibkan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, hanya 1,000 pengunjung yang dibenarkan dalam satu-satu masa bagi membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan di sini,” katanya.

Jeff memberitahu, selain daripada melihat pertunjukan tarian muzikal air pancut, pelbagai aktiviti lain boleh dilakukan oleh pengunjung di 99 Wonderland Park Wildlife in the City.

Pengunjung juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat serta memberi makanan pelbagai spesies haiwan seperti buaya tembaga, tapir, beruang matahari dan lain-lain pada waktu siang dan malam.

Di samping itu, pengunjung juga boleh bergambar dengan berlatarbelakangkan gemerlapan cahaya lampu Eiffel Tower dan beberapa seni bina ikonik lain yang dibina di situ.

“Saya suka melancong ke luar negara dan dalam masa sama seorang pencinta haiwan. Oleh itu saya bangunkan taman ini dengan menggabungkan konsep bandar dan haiwan berdasarkan minat saya untuk dikongsi bersama pengunjung lain,” katanya.

Memang menarik apabila para pengunjung boleh meneroka keindahan malam dengan cahaya LED bergemerlapan sambil menyaksikan air pancut.

Terdahulu, JL99 Group telah membelanjakan lebih RM57 juta menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam mengubah kolam terbiar menjadi taman rekreasi seluas 9 hektar dinamakan 99 Wonderland Park Wildlife in the City.

Dibangunkan dengan konsep taman urban moden, mereka turut mendapat sokongan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang memberi permit memelihara tapir Malaya, beruang matahari, buaya dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN