PENYANYI dangdut Inul Daratista melahirkan kebimbangan melihat suasana penuh sesak di Pasar Tanah Abang, Jakarta ekoran ramai penduduk berpusu-pusu membeli pakaian dan persiapan menyambut Aidilfitri.
Melihat suasana yang hampir tidak terkawal tersebut begitu menyedihkan Inul memandangkan Indonesia masih mencatat kes jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hati.
“Ya Allah semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik. Demi membeli sehelai pakaian menyambut lebaran, kesihatan dan keselamatan anda terpaksa dikorbankan,” tulis Inul dalam Instagramnya.
Pelantun lagu Goyang Inul itu turut berkongsi kisah dijangkiti Covid-19 pada bulan lalu sehingga terpaksa mengeluarkan biaya besar untuk berubat.
“Saya sekeluarga berhabis ratusan juta rupiah gara-gara Covid-19. Virus ini memang wujud dan kami hampir mati kerana kehabisan tong oksigen di hospital,” ujarnya.