fbpx

Pusing satu Malaysia demi Kembara Awish & Juju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMBARA Awish & Juju kini itayangkan setiap Isnin hingga Khamis di TV1 pukul 4.30 petang.

MELAWAT pusat konservasi penyu Terengganu, ladang teh di Cameron Highland dan menjejakkan kaki ke muzium tertua di Malaysia yang terletak di Taiping, Perak merupakan antara pengembaraan yang dilakukan oleh Awish bersama pupet yang juga rakan baiknya, Juju.

Menerusi rancangan Kembara Awish & Juju yang sedang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis di TV1 pukul 4.30 petang, mereka mengembara ke serata pelosok negara untuk menambahkan pengetahuan selain dapat merasai pengalaman baharu.

Penerbit program berkenaan, Anuar Che Embi, 52, menyifatkan perjalanan yang dilalui oleh Awish, Juju dan beberapa rakan-rakan yang lain memberikan perspektif baharu kepada kanak-kanak serta memberikan pengetahuan kepada mereka tentang tempat menarik yang ada dalam negara.

“Selama ini kita hanya melihat banyak rancangan travelog khusus untuk orang dewasa sahaja tetapi kali ini kita bawakan kelainan dengan memberikan pengalaman kepada kanak-kanak untuk menjadi teraju utama pula.

ANUAR CHE EMBI

“Jadi kita fikir watak Awish perlu ada teman. Kita masukkan watak Juju yang juga merupakan pupet yang ceria dan menghiburkan sebagai teraju utama yang akan bercerita pelbagai perkara bersama,” kata penerbit yang sudah berpengalaman luas ini lagi.

Sepanjang penggambaran berlangsung, Anuar dapat melihat sendiri kegembiraan kanak-kanak yang terlibat apabila dapat merasai pengalaman baharu seperti memetik epal dan daun teh, melihat penyu dan gajah serta menambah pengetahuan baharu apabila menjejakkan kaki ke muzium dan pusat sains.

“Ini yang cuba kita semarakkan dengan menerbitkan Kembara Awish & Juju. Kita juga mahu mereka yang menonton dapat pengetahuan dan teruja untuk melawat lokasi menarik dalam negara selain daripada memberikan mesej positif kepada semua,” tambahnya.

Watak Awish dimainkan oleh Armand Darwish Anuar yang juga merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2. Watak Alisya pula dilakonkan oleh Aleesha Qaisara; Asadel (Muhammad Asadel Mikael); Marissa (Ariana Marissa); Bavishan (Bavishan Nair) dan Stacy (Ilyn Loh).

Manakala watak Juju pula dimainkan oleh Meor Mardzuki yang berpengalaman luas dalam seni pupet dan menggunakan suara Farish Andika.

Tambah Anuar lagi, dia terfikir untuk menerbitkan rancangan yang mengangkat watak pupet kerana sudah tidak banyak lagi rancangan sebegitu yang diketengahkan ketika ini. Kebanyakan penerbit sudah beralih kepada animasi dengan menghasilkan kartun dan sebagainya.

MENARIKNYA, Kembara Awish & Juju ini mendapat sambutan hangat daripada penonton sejak ditayangkan beberapa minggu yang lalu.

“Bagi generasi terdahulu pupet bukan asing bagi mereka memandangkan ada rancangan sebegitu diterbitkan. Kita cuba menghidupkan semula peranan pupet untuk memberikan pengalaman baharu kepada kanak-kanak bawasanya hiburan ini luas.

“Tapi menerusi Awish dan Juju, kita suntik elemen travelog berbanding hanya duduk di studio seperti kebiasaan. Ini bukan sahaja dapat menambahkan pengetahun kanak-kanak tentang tempat menarik di serata negara tetapi dalam masa yang sama menyuntik nilai murni kepada semua,” kata pemilik produksi Ace TechnoScience Sdn Bhd ini lagi.

Menariknya, Kembara Awish & Juju ini mendapat sambutan hangat daripada penonton sejak ditayangkan beberapa minggu yang lalu. Diterbitkan sebanyak 13 episod, mereka menjelajah ke 13 lokasi yang akan memberikan dimensi baharu kepada penonton.

Antara lokasi yang dilawati termasuklah Zoo Taiping, Perak; Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang; Muzium Tentera Darat, Port Dickson dan beberapa lokasi menarik di Melaka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI