fbpx

K2

Musafir seorang wanita kelilingi dunia tanpa takut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMBARA De Pecol ke seluruh dunia membuka matanya bahawa dunia ini sebenarnya didiami ramai manusia yang baik.

SERING mendengar momokan bahawa mengembara seorang diri sangat berbahaya apatah lagi bagi wanita membuatkan Cassandra De Pecol atau lebih dikenali sebagai Cassie De Pecol menyahut cabaran itu.

Wanita dari Washington, Amerika Syarikat (AS) berusia 32 tahun tersebut telah memulakan pengembaraan ke seluruh negara di dunia pada tahun 2015 yang mengambil masa selama 18 bulan dan 10 hari.

Kejayaannya mengembara ke 196 buah negara termasuk Korea Utara itu telah menjadikannya individu terpantas mengunjungi semua negara di dunia selain wanita terpantas melawat semua negara di dunia.

Pencapaian De Pecol telah memecahkan rekod dunia Guinness World Records bagi kedua-dua kategori itu. Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh seorang lelaki dari Michigan, AS, Yili Liu pada tahun 2010 yang menyelesaikan pengembaraan ke semua negara selama tiga tahun dan tiga bulan.

Ketika dunia kini sedang menghadapi pandemik Covid-19 dan kegiatan rentas negara tidak dapat dilakukan, De Pecol mengakui amat merindui melancong.

WANITA ini tidak melepaskan peluang bergambar pada monumen-monumen.

Tidak hanya duduk diam, wanita tersebut kini rancak pula menjelajah di kawasan sekitar negeri kediamannya.

“Saya sememangnya rindukan melancong dan mencari tempat-tempat penginapan unik yang memberikan inspirasi. Saya bersyukur kerana kini berpeluang menjelajah tempat saya sendiri dan menemukan inspirasi di laman sendiri,” ujarnya di akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Menyoroti rekod yang pernah dilakukan pada tahun 2015 itu, De Pecol berkata, dia ingin mengatasi ketakutan diri sendiri dan pada masa sama menepis stigma sekali gus membuktikan wanita juga mampu berbuat demikian.

“Saya sering diberi peringatan supaya tidak mengembara secara solo kerana ia sangat bahaya bagi wanita. Sehubungan itu, ia menguatkan keinginan untuk melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh wanita sebelum ini dengan mengembara ke seluruh dunia dalam masa sangat pantas,” katanya yang sangat cintakan aktiviti pengembaraan.

Dalam misi pengembaraan itu, dia memastikan terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Instagram, telefon dan penjejak sistem kedudukan global (GPS).

Wanita kelahiran AS itu memberitahu, dia mengambil masa tiga tahun untuk merancang perjalanan tersebut termasuk permohonan visa dan mendapatkan penaja.

DE PECOL (kiri) bergambar dengan seorang wanita Korea Utara semasa mengunjungi negara itu yang sulit untuk dimasuki kerana syarat ketatnya.

Selama setahun setengah dia menyimpan wang sebanyak AS$10,000 (RM41,095) hasil bekerja sebagai penjaga bayi.

“Saya juga berusaha sebaik mungkin untuk mencari penaja bagi membiayai misi ini.

“Akhirnya saya berjaya mendapat sokongan daripada International Institute of Peace dan menarik banyak penaja daripada syarikat-syarikat besar seperti AIG sehingga kepada jenama beg dan ekohotel,” ujar graduan pengajian alam sekitar itu.

Secara keseluruhan, pengembaraan tersebut menelan belanja sebanyak AS$198,000 (RM813,681) hasil bantuan para penaja dan simpanan peribadi.

Dalam pengembaraan itu, De Pecol telah dilantik sebagai duta International Institute of Peace menerusi pelancongan antarabangsa untuk mempromosikan perdamaian dengan caranya sendiri dan bertemu ramai orang di setiap negara di dunia.

Sepanjang perjalanannya, dia berpeluang berjumpa dengan para datuk bandar, menteri serta Raja Sepanyol, King Felipe VI, bagi menyampaikan deklarasi perdamaian.

DE PECOL kelihatan memakai hijab sewaktu berkunjung ke Afghanistan.

Di samping itu, SKAL International iaitu sebuah persatuan pelancongan di seluruh dunia turut membantu mengatur pertemuan De Pecol dengan orang kenamaan di lebih 50 buah negara.

“Saya juga berpeluang memberi ceramah kepada lebih 16,000 pelajar mengenai kelestarian alam sekitar.

“Di samping itu, saya juga melakukan aktiviti penanaman pokok di lebih 50 buah negara,” ujarnya yang kini merupakan penulis, aktivis dan penceramah motivasi.

Dia juga mengunjungi 40 buah universiti di seluruh dunia bagi membincangkan mengenai budaya, agama dan keharmonian.

Ternyata sepanjang pengembaraan tersebut, wanita itu tidak menemui bahaya dan hanya kebaikan yang indah sesama manusia.

“Dunia ini tidak dipenuhi dengan berita buruk dan bahaya tetapi dipenuhi dengan manusia normal seperti saya dan anda.

“Saya banyak belajar untuk lebih menerima dan menghormati orang lain yang mempunyai latar belakang kebudayaan serta agama berbeza,” terangnya yang menaiki 255 kali penerbangan untuk melengkapkan misi selama kira-kira satu tahun setengah itu.

Dia yang dibesarkan di Washington sudah memasang impian untuk mengelilingi dunia sejak kecil.

“Saya membesar di sebuah bandar kecil dan ketika usia kanak-kanak jarang keluar berjalan-jalan ke tempat lain.

“Oleh itu, sejak kecil saya telah bercita-cita untuk mengembara dan berasa sangat teruja setiap kali keluar mengunjungi negara lain,” ceritanya.

Dalam pada itu, De Pecol mengakui dia turut berdepan cabaran ketika melaksanakan misi pengembaraan dunia tersebut antaranya pelancong tidak dibenarkan masuk ke Korea Utara seorang diri sehingga wanita itu menumpang kumpulan pelawat dari China.

Dia juga perlu membayar harga visa lebih tinggi untuk masuk ke negara tersebut kerana dirinya warga AS.

“Bayangkan bagi tempoh visa tiga hari saya perlu membayar AS1,000 (RM4,109) berbanding visa bagi warga China sebanyak AS$300 (RM1,232) untuk tempoh yang sama,” terangnya.

Di tempat lain, dia juga berjuang untuk mendapatkan visa seperti di Turkmenistan dan Syria sehingga wanita itu terpaksa meminta bantuan di media sosial.

“Saya meminta pertolongan di Facebook dengan menulis ‘hai saya memerlukan pertolongan untuk masuk ke Libya atau Syria’.

“Pada ketika itu, saya terpaksa mempercayai orang yang tidak dikenali,” katanya.

Bagi mengekalkan kecergasan dalam menempuhi perjalanan jauh dan memenatkan itu, dia memastikan minum air secukupnya, mengambil vitamin dan bersenam.

De Pecol turut berlatih krav maga iaitu salah satu seni bela diri.

Berkongsi tip mengembara secara solo bagi wanita, De Pecol mengingatkan agar memandang serius keselamatan diri dan sentiasa berjaga-jaga.

Nasihatnya, elakkan bersiar-siar pada waktu malam dan pelajarilah ilmu mempertahankan diri.

“Saya tahu ia sukar tetapi jangan pergi ke tempat parti atau bar kerana di situlah anda akan diambil kesempatan. Dalam perjalanan ini, saya sama sekali tidak keluar dan sekiranya mahu segelas wain hanya minum di dalam bilik,” ulasnya.

Selain itu, katanya, sekiranya pergi ke negara-negara Islam, wanita hendaklah memakai hijab bagi menghormati mereka.

Daripada 196 buah negara yang dilawatinya, De Pecol paling menyukai Pakistan.

“Negara ini sering digambarkan dengan imej buruk padahal di sana saya diberi layanan yang baik dan penduduknya sangat ramah.

“Saya sangat menyukainya kerana terdapat gunung dan pantai selain gabungan budaya Asia serta Timur Tengah,” tuturnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI