PETALING JAYA – Seorang lelaki yang tular dalam insiden pergaduhan dengan Ahli Jawatankuasa Pengurusan (AJK) di sebuah pangsapuri dua tahun lalu, dijatuhi hukuman denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Syed Mohamad Nizam Syed Hussein, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya kesemua jumlah denda itu gagal dibayar, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu boleh dipenjara enam bulan dan tertuduh membayar kesemua jumlah denda itu.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Khairul Anwar Khairuddin, 40, dengan menendang mangsa pada bahagian badan sebelah kiri.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, bapa empat anak itu didakwa telah melakukan khianat dengan merosakkan besi palang pengawal milik pengurusan pangsapuri itu yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa sama (Muhammad Khairul) yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dunya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bawah sebuah blok pangsapuri di Kota Damansara di sini pukul 11.30 pagi pada 2 November 2019.
Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang rendah dan menyesal atas perbuatan tersebut.
Katanya, dia juga perlu menyara isteri dan empat anak, berusia lapan hingga 20 tahun, yang mana mereka masih bersekolah termasuk dua di kolej.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Pada November 2019, media melaporkan tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki bercakap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat selepas diminta mengalihkan keretanya yang diletakkan di luar petak parkir pelawat.
Lelaki tersebut yang turut menggelarkan dirinya sebagai Lan Gila dirakam dilihat beberapa kali mengugut untuk mencederakan sesiapa yang cuba mengunci tayar kenderaannya.-K!ONLINE














