fbpx

Konsep berkongsi rezeki di Lalashop Fresh Mart

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform PKS

PETALING JAYA – Menceburi industri peruncitan bermakna usahawan tersebut perlu menyediakan modal yang besar, memiliki tenaga kerja yang mencukupi dan sentiasa membuat perancangan promosi yang rapi bagi mengukuhkan jenamanya di pasaran dan juga dalam kalangan pelanggan.

Persaingan sengit juga perlu juga dijadikan bahan pengukur untuk terus bertahan khususnya buat syarikat yang baru memulakan langkah ke­rana mereka begitu rapuh untuk ‘berdiri sama tinggi’ dengan syarikat-syarikat berjenama popular.

Mereka juga perlu bersaing dengan kedai runcit tradisio­nal yang dikenali sebagai ‘kedai Acheh’ atau ‘kedai Minang’ yang berdiri kukuh di kebanyakan pelosok taman perumahan serta kawasan komersial.

Namun bagi Lalashop Fresh Mart yang dimiliki syarikat bumi­putera Globeherbs Sdn. Bhd. ia tidak melihat persaingan itu sebagai kekangan untuk mereka­ menceburi bidang tersebut dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.

Bagi pengurus syarikat, Rosland Mohd. Jannes, beliau melihat cabaran itu sebagai peluang untuk membantu usahawan kecil dan juga memberi manfaat kepada pe­langgan dengan matlamat untuk berkongsi rezeki serta keuntungan dengan kumpulan sasaran tersebut.

Menurut beliau, uniknya, Lalashop Fresh Mart yang baru memulakan operasinya pada awal April lalu telah bersedia menawarkan mata ganjaran kepada pelanggan yang membeli-belah dan pelanggan juga bakal memperoleh wang tunai kembali pada kadar 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan mereka.

“Mata ganjaran yang terkumpul dalam kad keahlian, boleh ditunaikan kembali atau digunakan untuk membeli produk seterusnya sama ada secara offline dan juga dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Lalashop Fresh Mart di Plaza Suria, Damansara Damai dekat sini baru-baru ini.

Rosland menerangkan, untuk memperoleh manfaat tersebut, pelangan hanya perlu membeli barangan lebih daripada RM180 dan mereka akan diberikan kad keah­lian.

Selain itu, beliau menjelaskan, pasar raya sulung yang melibatkan pelaburan kira-kira RM400,000 itu menawarkan ke­selesaan kepada pelanggan untuk membeli barangan keperluan dapur dan sayur-sayuran serta barangan basah.

Katanya, antara kelebihan syarikat adalah ia mampu menawarkan barangan basah secara berterusan meskipun berlaku kekurangan bekalan daripada pemborong atau musim tengkujuh kerana memiliki sebuah bilik simpanan beku yang boleh menyimpan sehingga 1.5 tan bara­ngan dalam satu-satu masa.

Rosland memberitahu, selain memberi manfaat kepada pe­langgan, Lalashop Fresh Mart menyediakan ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menawarkan produk kelua­ran masing-masing di outlet itu.

Jelasnya, lebih 3,500 produk yang dijual di premis berkenaan terdiri daripada barangan PKS seiring dengan mi­sinya untuk membantu kumpulan berkenaan dalam keadaan ekonomi yang sukar ketika ini.

Ditanya mengenai program pengembangannya, syarikat telah menyusun strategi untuk membuka le­bih banyak Lalashop Fresh Mart di seluruh negara.

Beliau mengalu-alukan kerja­sama daripada koperasi atau persatuan untuk bekerjasama menjadi rakan niaga bagi penubuhan outlet baharu itu.

Melaluinya, ia akan membolehkan usaha syarikat untuk membuka antara lima hingga 10 cawangan baharu setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI