fbpx

Kisah kompaun Neelofa, Diana tegur gurauan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA DANIEL dan Neelofa.

KENDATIPUN bulan Ramadan yang sepatutnya dijadikan waktu terbaik untuk meningkatkan amal ibadah, industri hiburan tempatan tetap menggelegak dengan pelbagai isu.

Baik kisah Neelofa yang akhirnya dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis perkahwinannya sehinggalah kepada isu beberapa artis tampil bersuara soal gurauan seksual di sekolah menjadi antara bahan perdebatan hangat netizen dalam media sosial.

Gelanggang media sosial boleh menjadi ‘meja penghakiman’, namun pada masa sama, diibaratkan sebagai lubuk yang penuh dengan bendasing toksik.

Pengajaran Neelofa

Neelofa teruk dikecam netizen selepas didapati bersalah melanggar SOP. Pun begitu, denda yang dikenakan ke atasnya tidak menamatkan ‘perang’ yang dilancarkan netizen terhadapnya. Selebriti dan usahawan itu ‘diheret’ dalam beberapa siri ketidakpuasan hati yang berlarutan selepas itu.

Kes berlanjutan apabila Neelofa memuat naik foto burger dalam InstaStory miliknya. Dengan hanya sekeping gambar, dia dituduh menyindir peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa ditetapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di negeri itu.

Demi menutup prasangka netizen terhadapnya, bekas pengacara MeleTOP itu menjelaskan dia sebenarnya ingin membantu melangsaikan kompaun peniaga terbabit.

Selang beberapa hari, timbul pula dakwaan mengatakan bahawa peniaga itu sebenarnya mampu membayar sendiri kompaun yang dikenakan terhadapnya. Semuanya gara-gara siasatan dalaman yang dilakukan netizen berjaya menyelongkar ‘kemewahan’ gaya hidup lelaki itu menerusi Facebook.

Lenyap kisah burger, kemarahan netizen terhadap Neelofa belum reda apabila muncul pula pihak menggesa kerjasama antara wanita itu dengan jenama aksesori perhiasan popular dunia, Swarovski ditamatkan serta-merta susulan siri kontroversi yang berlaku.

“Kontrak saya dengan Swarovski telah tamat Disember tahun lalu, namun kami masih mempunyai hubungan yang baik dan akan terus kekal begitu. Harap ini jelas,” jelas Neelofa menerusi ciapan Twitter.

‘Budaya’ gurauan seksual

Selain Neelofa, termometer dunia hiburan turut bergegar dengan isu gurauan seksual di sekolah yang menarik perhatian pelakon Diana Danielle. Dia berharap golongan pendidik tidak menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang normal.

“Kepada guru yang suka cakap merapu di dalam kelas, merepek dan berkelakuan tidak senonoh adalah dua perkara berbeza.

“Hendak bergurau dengan budak, ikutlah peringkat kematangan mereka. Tahap gurauan kanak-kanak tidak sama dengan pelajar sekolah,” tulisnya dalam Instagram.

Pelakon itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan gurauan seksual sebagai perkara normal.

“Jangan normalisasikan perkara ini. Golongan pendidiklah yang seharusnya menjadi contoh ketika di sekolah. Kalau bukan mereka, hendak harapkan mak cik kantin sekolah?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI