PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan merekodkan peningkatan trend kes Covid-19 di negara ini bermula Minggu Epid 12/2021 sehingga Minggu Epid 17/2021 dengan kumulatif sebanyak 79,881 kes sepanjang tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi sebanyak 22,099 kes diikuti Kuala Lumpur (7,019 kes) dan Putrajaya (264 kes).
“Bermula 1 Januari sehingga hari ini, kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk adalah sebanyak 872,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga negeri mencatatkan kadar insiden kes tertinggi adalah Kuala Lumpur (1,583) diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).
“Nilai Rt di Malaysia juga menunjukkan peningkatan dengan terkini 1.14 manakala, nilai Rt Selangor (1.2), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa langkah sedang dilaksanakan oleh UCC Wilayah Tengah bagi mengatasi kesesakan katil kritikal di Lembah Klang antaranya pengurusan katil kritikal di hospital Covid-19 di Lembah Klang dilakukan secara bersepadu di bawah seliaan UCC.
“Selain itu, Hospital Sungai Buloh sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil kritikal Unit Rawatan Rapi (ICU) secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.
“Langkah lain ialah pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang boleh dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19,” katanya.
Tambahnya, wad-wad biasa yang bersesuaian akan ditukar fungsi kepada katil-katil kritikal bagi memenuhi keperluan yang meningkat.
“KKM akan terus bekerjasama dengan hospital swasta, swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal,” ujarnya -K! ONLINE














