LANGKAWI – Empat lelaki yang leka mengambil dadah di sebuah bilik sewa di Kampung Yooi di sini terkejut apabila diserbu sepasukan polis, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, empat lelaki berusia antara 22 hingga 28 tahun itu didapati dalam keadaan khayal.
Turut ditemui di bilik sewa tersebut ialah dadah jenis syabu dan heroin dianggarkan bernilai RM1,200.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemeriksaan ke atas bilik berkenaan menemui sejumlah dadah di atas lantai berhampiran kesemua suspek.
“Kita menemui tiga peket plastik lut sinar dan tujuh tiub straw berisi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 13.5 gram (g) serta dua peket plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 8.5g,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Shariman lagi, salah seorang suspek berusia 25 tahun dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah kepada tiga suspek lain. – K! ONLINE














