CANBERRA – Penduduk sebuah bandar tidak jauh dari Sydney terpaksa berkurung dalam rumah selepas kawasan kejiranan di situ diserang ribuan burung kakak tua, lapor Daily Star semalam.
Serangan itu yang dimuat naik di akaun TikTok @justsheff33 menunjukkan ribuan burung kakak tua berwarna putih terbang dan memenuhi halaman rumah dan juga jalan-jalan sekitar.
Insiden yang berlaku di Nowra itu dianggap menakutkan.
Burung kakak tua itu yang dikenali sebagai corella berasal dari New South Wales Shoalhaven dan boleh menjadi haiwan pemusnah, lapor 9 News.
Ia lazimnya memusnahkan tanaman di ladang untuk mencari makanan.
Namun, memandangkan ia merupakan spesies dilindungi, tidak banyak yang boleh dilakukan bagi mengelak kelakuan burung itu yang tidak terkawal.
Menurut Profesor David Phalen yang merupakan pakar kesihatan hidupan liar dan konservasi University Sydney, burung tersebut akan mencari tempat untuk makan sebelum berpindah ke destinasi lain dan akan terbang dalam kumpulan yang banyak ketika bukan musim mengawan.
“Burung itu bersifat nomad. Mereka akan mencari makanan dan apabila terjumpa sesuatu yang disukai, mereka akan turun ke situ.
“Mereka akan makan dan berpindah ke lokasi lain. Itu merupakan kelakuan normal,” kata Phalen.
Phalen yang menonton video tersebut percaya burung itu makan sesuatu di bahagian halaman rumah.
“Burung tersebut tertarik kepada sesuatu yang ada di halaman rumah,” katanya. -Agensi