fbpx

Unjuran trafik penumpang udara susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyemak semula unjuran trafik penumpang udara tahun ini kepada 18.9 juta hingga 20.6 juta orang, bersamaan penguncupan antara 22.9 peratus dan 29.1 peratus berbanding tahun lalu.

Ini berbanding ramalan yang dibuat Mavcom dalam edisi laporan industri pada bulan Di­sember lalu, yang mana Suruhanjaya itu menjangkakan trafik penumpang udara akan kembali pulih pada 2021 dengan unjuran 51.7 hingga 53.3 juta penumpang.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, semakan semula itu dibuat berikutan peningkatan semula kes Covid-19 negara dan antarabangsa baru-baru ini, selain mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini.

“Suku pertama (S1) tahun 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan udara, iaitu penurunan 91.1 peratus tahun ke tahun daripada 19.1 juta penum­pang pada S1 2020.

“Ia memperlihatkan jumlah trafik penumpang yang rendah untuk tahun 2021, manakala ke­perluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangka berkuat kuasa sepanjang tahun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut Saripuddin, pasaran domestik dijangka terus menjadi pemacu utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan dengan gelembung perjalanan atau travel bubble antara negeri-negeri PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dibenarkan.

“Bagaimanapun, ramalan ini dibuat berdasarkan keadaan wabak Covid-19 yang sedang berlaku dan industri penerbangan dijangka terus menghadapi kesan pandemik ketika ketidakpastian terus mengancam pemulihan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, faktor seperti jangka masa pelaksaanaan pemvaksinan, langkah kesihatan awam yang lebih ketat atau dilonggarkan, pembukaan semula sempadan udara antarabangsa dan perubahan permintaan untuk perjalanan udara akan terus mempengaruhi pemulihan sektor ini.

“Mavcom akan terus memantau dan menilai perkembangan semasa industri penerbangan tahun ini serta berusaha untuk mengurangkan impak pandemik dengan menyokong pemulihan sektor penerbangan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI