NEW YORK – Sejenis termos botol minuman di Amerika Syarikat didatangkan dengan fungsi khas cucian sendiri menggunakan sinaran ultra ungu kumpulan C (UV-C), lapor akhbar New York Post kelmarin.
Termos botol dikenali sebagai CleanLight UV Sanitizing Water Bottle itu mempunyai kegunaan yang sama seperti botol minuman lain, namun direka dengan ciri keselamatan tambahan.
Ciri keselamatan tersebut termasuk sinaran UV-C yang mampu membunuh 99.99 peratus bakteria yang terkandung di dalam botol tersebut.
Pengguna hanya perlu mengisi botol seperti biasa, dan menekan sebanyak dua kali pada penutup termos bagi membolehkan proses pembersihan sinaran UV-C berlaku.
Semudah itu, air minuman dapat dibersihkan dalam hanya beberapa saat dan selamat diminum.
Tambah menarik, penutup termos boleh dicas semula menggunakan kabel pengecas magnetik yang mudah digunakan.
Termos tersebut juga diperbuat daripada keluli tahan karat yang akan mengekalkan suhu air panas selama 12 jam dan air sejuk selama 24 jam.
Produk tersebut dijual pada harga diskaun AS$79 (RM324), berbanding harga asal AS$109 (RM447). – Agensi