fbpx

Menara telekomunikasi baharu di 742 lokasi di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Sebanyak 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak akan dibangunkan dengan menara telekomunikasi baharu di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bermula tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 106 menara mula dibangunkan bermula bulan ini manakala kerja-kerja pembinaan menara bagi baki 636 lokasi dijangka akan bermula pada suku ketiga depan.

“Kesemua menara telekomunikasi baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun depan dengan penawaran perkhidmatan 4G,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, selain itu, sejumlah 1,283 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4G pada tahun lepas dan usaha tersebut berterusan sehingga suku pertama tahun ini.

“Manakala sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, jelas MCMC, di bawah inisiaitif Jendela juga, pihaknya turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit yang mana sejumlah 523 lokasi telah dikenal pasti di Sarawak dan kini sedang di peringkat penilaian tender.

“Bagi projek jalur lebar talian tetap pula, MCMC menyasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi,” katanya.

Terdahulu, MCMC telah mengambil tindakan berhubung aduan berkenaan liputan internet lemah di kawasan pinggir bandar, Kampung Batu Perak yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen baru-baru ini.

Susulan itu, pejabat MCMC Negeri Sarawak mengadakan tinjauan di kampung terbabit dan mendapati liputan komunikasi adalah baik dan kemudahan jalur lebar talian turut disediakan.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI