fbpx
Gambar yang tular mengenai kawasan hutan yang gondol bersebelahan Pejabat Hutan Daerah Kuantan di Kuantan.

Kawasan digondol tanah milik persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Kawasan hutan yang digondolkan bersebelahan Pejabat Hutan Daerah Kuantan merupakan tanah milik persendirian dan bukannya kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seperti didakwa dan ditularkan sesetengah pihak.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Mohd. Hizamri Mohd. Yassin berkata, kawasan diviralkan merupakan dua lot tanah milik persendirian seluas 20 hektar yang terletak di luar kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Galing.

Beliau memberitahu bagaimanapun beberapa aktiviti penguatkuasaan telah turut dilakukan di kawasan tersebut pada Jun 2016 atas beberapa kesalahan yang dikenalpasti.

“Jabatan telah menahan kerja projek memecah batu granit di kawasan ini pada 2016 kerana ketika projek ini dijalankan pejabat mendapati pihak kontraktor telah melakukan kerosakan pada tanda cat sempadan Hutan simpan Bukit Galing.

“Kemudian pada 21 Jun 2017 sekali lagi pejabat ini telah menahan kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor di kawasan yang sama kerana telah melakukan kesalahan membuang sisa tanah dan melonggok tanah dalam HSK, menggali kolam takungan air dalam HSK, merosakkan tanda sempadan HSK dan juga memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran,”katanya di sini hari ini.

Hari ini tular dalam media sosial gambar pejabat Hutan Daerah Kuantan yang berlatarbelakangkan kawasan hutan digondol selain gambar kawasan hutan yang digondol.

Susulan itu ia mendapat pelbagai komen daripada netizen termasuk yang menyalahkan pihak berkuasa dan meminta penguatkuasaan dilakukan segera.

Menurut Mohd. Hizamri selepas daripada aktiviti penguatkuasaan tersebut pihak kontraktor tidak lagi menjalankan kerja-kerja memecah batu atau meratakan tanah di kawasan tersebut.

Katanya, susulan itu juga pihaknya telah mencadangkan Kerajaan Negeri menjadikan kawasan yang telah digondolkan tersebut sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“Dengan dijadikan hutan simpan kawasan ini boleh diuruskan dengan lebih baik seperti dilaksanakan kerja-kerja tanaman semula kawasan yang telah digondolkan ini dan seterusnya dapat memulihkan semula kawasan ini daripada berlakunya hakisan serta bencana lain,”ujarnya.-K! ONLINE

POPULAR