fbpx

PDRM sahkan telah rakam keterangan Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dirakamkan percakapan berhubung siasatan kes penularan rakaman audio perbualan didakwa melibatkan dirinya pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar telah hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman dengan ditemani oleh peguamnya.

“Kenyataan beliau dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah manakala siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam.

“Kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian setelah memperolehi perintah untuk menyiasat mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah daripada Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat pebualan antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Persiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi tular pada awal April lalu telah mencetuskan kebimbangan dan kegentaran kepada awam yang kemudiannya tampil membuat laporan polis.

“Siasatan dijalankan ekoran 18 laporan polis yang diterima daripada 17 orang wakil politik dan seorang individu awam yang mendesak agar ia dilakukan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah memalsukan rakaman audio tersebut dengan tujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni di antara kedua-dua parti politik.

“Penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan kepada beribu komen-komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah merupakan dua orang pemimpin parti yang berpengaruh,” jelas beliau.

Huzir menambah, tindakan memanggil Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, adalah merupakan suatu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

“Rakaman percakapan beliau (Anwar) diperlukan bagi membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio itu dapat disahkan sebagai perbualan di antara beliau dengan Datuk Seri Ahmad Zahid.

“Siasatan terperinci juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio berkenaan, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI