LONDON – Ubat bagi merawat Covid-19 dinamakan Favipiravir dijangka dapat membantu mengelak berulangnya perintah berkurung koronavirus di Britain, demikian menurut kajian para saintis.
Setakat ini, satu-satunya pil antivirus untuk merawat jangkitan peringkat awal koronavirus yang sedang dalam ujian klinikal Britain adalah Favipiravir manakala hasil kajian dijangka diketahui dalam masa enam bulan lagi.
Ketua penyelidikan tersebut, Profesor Kevin Blyth dari Universiti Glasgow berkata, sejarah baharu akan tercipta jika ubat antivirus itu berfungsi seperti yang diharapkan, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
“Tiada lagi perkhidmatan hospital yang berada di bawah tekanan kerana pesakit akan berhenti datang ke hospital.
“Perkhidmatan kesihatan dapat berfungsi seperti biasa dan kita semua tidak perlu lagi berdepan perintah berkurung Covid-19 atau kawalan sekatan seperti sekarang,” katanya.

Favipiravir adalah pil antivirus selesema yang dikembangkan di Jepun pada 2014.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mengumumkan mahu mengenal pasti rawatan alternatif bagi pesakit Covid-19 atau mereka yang terdedah kepada virus maut itu.
Ujian GETAFIX digunakan untuk mengukur sama ada pil Favipiravir mampu menghentikan simptom Covid-19 daripada menjadi lebih parah dengan menggunakan sistem pemarkahan dari 1 hingga 10.
Sekiranya pil antivirus ini terbukti berfungsi melawan SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan Covid-19, maka berjuta-juta dos akan diberikan pada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
“Kita akan mendapat jawapannya dalam masa enam bulan lagi.
“Anda mungkin dapat mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran Covid-19,” kata Blyth. – Agensi














