RANTAU PANJANG – Sekumpulan penyeludup sanggup lari meninggalkan pelbagai jenis mercun bernilai RM22,595 dalam kebun getah berhampiran pangkalan haram Salleh Berek di sini semalam selepas kegiatan mereka dikesan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sewaktu serbuan dijalankan, salah seorang daripada mereka telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord manakala yang lain mendayung perahu menyeberangi Sungai Golok ke negara jiran.
Katanya, rampasan itu dijalankan hasil rondaan rutin anggota PGA di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi itu menjumpai guni berwarna putih dan kotak-kotak yang ditinggalkan oleh kumpulan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap barangan itu telah membawa kepada penemuan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM22,595.
“Kita tidak menolak kemungkinan mercun ini dibawa masuk secara haram ke negara ini untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal di Jeram Perdah di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-K!ONLINE














