SEBERANG PERAI – Seorang gelandangan ditemui mati selepas tergelincir dari pokok mempelam dan terjatuh ke dalam longkang ketika memanjat pokok itu di Jalan Tenggiri, Taman Tenggiri, Seberang Jaya di sini pagi tadi.
Mayat mangsa, Sobirin Zainol, 54, ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 7.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan lengkap berpakaian di dalam longkang.
“Berdasarkan maklumat penduduk setempat, si mati merupakan gelandangan yang kerjanya memanjat pokok mempelam dan mengambil buahnya untuk dijual.
“Mangsa disyaki tergelincir dari atas sebatang pokok mempelam dan terjatuh ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Shafee, pihaknya menemui sebuah guni berisi buah mempelam berhampiran mangsa dan sebuah guni lagi berada di atas pokok berhampiran dengan longkang.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh si mati selain terdapat kesan darah pada telinga sebelah kiri.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan bomba membantu mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui mati di dalam longkang di Taman Tenggiri selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9 pagi. – K! ONLINE