RESIPI yang dikonsgikan wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini acapkali menjadi rujukan buat kaum hawa dalam menyediakan hidangan-hidangan lazat untuk keluarga tercinta.
Boleh dikatakan setiap resipi yang dimuatnaiknya di laman sosial, pasti mendapat maklum balas positif.
Bukan sahaja masakan yang dimasak menjadi, malah rasanya juga dikatakan enak tidak ubah seperti air tangan seorang ibu.
Disebabkan itu juga, tidak hairanlah mengapa carian Azie Kitchen begitu popular di Google sejak satu dekad lalu.
Gemar berkongsi masakan tradisional, populariti Azie Kitchen naik mendadak terutamanya pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal.
Ini memandangkan pada ketika itu, kaum wanita sibuk memburu resipi masakan untuk menyediakan hidangan juadah istimewa buat sajian seisi keluarga.
Mula aktif di laman sosial Blogspot sejak tahun 2011, Haziah Jaya merupakan individu terawal yang menggunakan platform digital untuk berkongsi resipi kepada umum sebelum kemunculan beberapa selebriti media sosial lain.
Berkongsi dengan K2, wanita yang pernah berkhidmat sebagai seorang pengurus di Bank Negara Malaysia ini berkata, niatnya berkongsikan resepi di media sosial pada waktu itu hanyalah satu iaitu mahu dijadikan sebagai bahan rujukan kepada anak-anaknya, selain menjadi platform perkongsian ilmu kepada pembaca blog.
“Saya memang pantang dapat makan makanan sedap, mesti gelisah ingin mendapatkan resipi meskipun ketika itu saya jarang memasak kerana kesibukan bekerja dan menguruskan anak yang masih kecil.
“Biarpun sukar pada awalnya untuk mendapatkan resipi berkenaan, tetapi selepas memperolehnya, saya tekad untuk berkongsi di media sosial dengan mewujudkan blog masakan Azie Kitchen supaya ilmu yang dimiliki ini dapat dipanjangkan,” katanya.
Tanpa disangka, niat murninya itu menyebabkan namanya menginjak naik. Sebutlah apa sahaja resipi yang didambakan, semuanya ada tertulis di blog aziekitchen.com.
Dengan hanya mengikut kaedah memasak yang diajarkan, juadah yang diimpikan pastinya menjadi.
Bercerita lanjut, menurut wanita yang mesra disapa Azie ini , minatnya dalam dunia masakan mula bercambah sejak di bangku sekolah.
Arwah ibunya merupakan seorang yang hebat dalam masakan dan pembuatan kuih-muih tradisional. Kuih lompat tikam yang dihasilkan begitu terkenal pada bulan Ramadan.
Disebabkan itu juga sejak kecil lagi, dia sudah didedahkan dengan selok-belok dunia dapur apabila sering membantu ibunya menyiapkan bahan-bahan untuk membuat kuih-muih seperti mengisar beras dan mengukur kelapa.
“Ketika di sekolah rendah, saya pernah menggunakan wang saku untuk membeli bahan memasak dan pernah menyediakan biskut sendiri.
“Bagaimanapun, biskut yang dihasilkan pada waktu itu sangat keras dan tidak menjadi kerana saya hanya mampu membeli satu tepung sahaja iaitu tepung gandum untuk dijadikan bahan,” ceritanya mengimbau kembali kenangan manis pada awal penglibatannya dalam bidang masakan.

Biarpun begitu menyintai dunia masakan, namun Azie akui dia tidak mempunyai idola dalam bidang itu. Sebaliknya, wanita ini mengakui mengagumi dan memandang hebat semua wanita yang pandai memasak pelbagai jenis masakan terutamanya Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selain kesibukan memenuhi tuntutan kerja di pejabat dan menjalankan rutin harian sebagai seorang isteri dan ibu di rumah, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Azie menyeimbangkan kehidupan apabila berjaya membuat perkongsian resipi di media sosial tanpa gagal.
Menurut Azie, biasanya dia menggunakan sepenuhnya hari minggu untuk memasak beberapa resipi sama ada lauk-pauk atau kuih-muih.
“Itu ketika saya masih lagi bekerja. Lazimnya ia cukup untuk memberikan kandungan selama dua minggu.
“Bagaimanapun, selepas bersara, kini saya lebih relaks kerana setiap hari boleh memasak untuk dikongsikan di saluran blogspot dan YouTube.
“Lazimnya saya akan memasak untuk dihidangkan kepada keluarga dan dirakam buat tatapan pengikut. Setiap resipi yang dikongsi akan disukat bahannya kerana mahu orang ramai mendapatkan hasil yang hampir sama.
“Begitupun masakan yang dibuat bukan untuk kandungan semata-mata tetapi untuk dihidangkan kepada keluarga sendiri,” ceritanya.

Kongsi Azie lanjut, biasanya dia akan mula memasak seawal 9.30 pagi dan akan siap sepenuhnya menjelang tengah hari.
Sewaktu memasak, wanita ini juga akan mengambil gambar beserta video dan disunting sebelum dimuat naik ke dalam blog dan YouTube untuk dikongsikan.
Daripada puluhan video yang dikongsi, resipi kuih seri muka istimewa paling banyak ditonton umum.
Bermula dengan Blogspot sebelum berpindah ke media sosial Facebook dan kini YouTube sebagai platform berkongsi ilmu masakan, Azie melangkah satu tapak lagi ke hadapan apabila tampil dengan buku resipinya sendiri iaitu 101 Resipi dari Azie Kitchen dan terbaharu Resipi Azie Kitchen Hebat di dapur.
Buku tersebut berkonsepkan kompilasi semua kategori masakan kerana beliau mahu pengikutnya menjadi individu yang hebat di dapur dengan kepandaian bukan sahaja resepi masakan moden, tetapi juga tradisional.
Menurut wanita ini lagi, resipi-resipi yang dipilih adalah keeper recipe kerana mahu ia dijadikan rujukan daripada generasi ke generasi.
“Ramai orang boleh memasak tapi tidak ramai yang mampu berkongsikan kepandaian mereka kepada anak-anak kerana berpendapat sekadar memasak campak-campak sahaja.
“Saya juga menggunakan kaedah tersebut tetapi memberi perhatian pada kuantiti bahan yang digunakan.
“Ini bagi membolehkan mereka yang mahu mengikuti resipi ini boleh membuat anggaran dengan tepat biarpun kuantiti sebenar bahan bergantung kepada cita rasa sendiri.
“Nasihat saya para ibu dan para wanita sempena bulan Ramadan, cubalah memasak sendiri makanan yang diinginkan biarpun ia menu ringkas.
“Selain sedap kerana mengikut cita rasa sendiri, ia juga lebih menjimatkan,” ujarnya.














