PERAHU jong merupakan permainan tradisional yang wujud lebih ratusan tahun dahulu, namun kini menunggu masa untuk ‘pupus’. Lazimnya, perahu jong dimainkan masyarakat Melayu yang bekerja sebagai nelayan sama ada yang tinggal di persisiran pantai mahupun di pulau-pulau. Bentuknya seperti miniatur perahu layar dan kebiasaannya dimainkan ketika nelayan tidak turun ke laut pada musim tengkujuh.
Menyoroti sejarah perahu jong dalam masyarakat Melayu, terdapat tiga versi asal usul permainan tradisional ini.
Pertama, jong ini merupakan akulturasi daripada masyarakat Tionghua.
Kedua, permainan ini adalah satu permainan asli yang lahir daripada masyarakat Melayu berketurunan Jawa manakala ketiga, perahu jong dipercayai wujud sejak pemerintahan kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga sekitar kurun ke-18 (1701 hingga 1800).
Menyingkap kembali kewujudan perahu jong, pemilik dan pengusaha Bengkel Jong Haji Lazim, Mohd. Lazim Atan, 60, baru-baru ini berkongsi cerita mengenainya bersama Panorama ketika ditemui di Kampung Linting, Kota Tinggi, Johor.
Mohd. Lazim antara insan yang bertanggungjawab untuk memastikan perahu jong terus hidup di selatan tanah air selain merupakan generasi ketiga yang mewarisi bakat membuat jong.
Menurut Mohd. Lazim, uniknya permainan itu di Malaysia ialah jong atau perahu jong hanya dapat ditemui di kampung berkenaan yang terletak di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi selain di daerah Pontian.

Katanya, jong dimainkan pada musim monsun Timur Laut antara penghujung November hingga Mac di mana kelajuannya boleh mengatasi bot biasa sekiranya angin kuat.
Bagaimanapun, permainannya memerlukan kepakaran dan ilmu terutama dalam melayarkan jong yang telah dilaksanakan setting awal.
“Pada zaman 1980-an, jong boleh kami cakap telah ‘habis’ setelah ketiadaan datuk dan nenek kami di sini yang membuatnya.
“Yang tinggal hanya tunggul-tunggul yang ditinggalkan datuk dan nenek. Melihat keadaan itu, saya dan generasi seusia saya berfikir amat sayang jika jong ini terus hilang begitu sahaja.
“Apa yang kami lakukan ialah cuba buat semula jong dengan cara ingat kembali bentuknya, ambil daripada model lama, kami tiru dan buat sehinggalah satu peringkat menjadi,” katanya.
Menurutnya, pada awalnya, jong yang dihasilkan ialah sekitar lima ke enam jong berbanding sekarang sudah terdapat ratusan jong di Pulau Tanjung Surat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Kota Tinggi.
Kerana tidak mahu permainan itu terkubur, warga emas tersebut mengambil inisiatif dengan mewujudkan Bengkel Jong Haji Lazim yang dikendalikannya bersama keluarga sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kita cuba promosikan supaya dapat hidupkan kembali permainan ini. Jika tiada usaha yang kami lakukan ini, generasi sekarang sudah tentu tidak dapat menjumpai permainan ini yang dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, Indonesia.
“Kami turut mengambil langkah lebih jauh dengan mengembangkan permainan ini kepada rakan-rakan di Pontian,” katanya.
Mohd. Lazim berkata, jong mempunyai pelbagai kategori iaitu A, B, C dan D mengikut saiznya.
Bagi jong kategori A saiznya berukuran 80 inci hingga 120 inci. Bagi jong B pula 40 inci hingga 50 inci, manakala jong C dari 39 inci ke bawah.
Sementara bagi jong kategori D saiznya bermula dari 30 inci ke bawah termasuklah jong yang dibuat untuk kanak-kanak yang bersaiz kurang 20 inci.
Perahu jong pada asasnya sama seperti perahu layar.

“Jong ini tidak ada orang yang naik di atasnya sebaliknya dilepaskan begitu sahaja. Cabarannya adalah ketika angin kuat tetapi itulah yang menyeronokkan bagi kami apabila ia berjaya tiba di garisan penamat yang ditetapkan.
“Selain jong untuk pertandingan, kami juga wujudkan jong bersaiz kecil untuk kanak-kanak agar generasi kecil ini kenal dengan jong dan seterusnya mewarisinya.
“Untuk mengekalkannya, kami sering beri peluang kepada kanak-kanak untuk lepaskan dahulu jong mereka,” katanya.
Menurut Mohd. Lazim, proses untuk menghasilkan perahu jong memakan masa selama kira-kira tujuh hari.
Jelasnya, perahu dihasilkan menggunakan kayu pulai kerana kayu ini keras, ringan dan tahan lama.
Proses bermula dengan mengambil kayu tersebut di hutan sebelum dibuang kulit kayunya, getah-getah seterusnya dikeringkan sebelum dibelah untuk dibuat badan jong mengikut saiz dikehendaki.
Kemudian kayu ditarah menggunakan parang untuk dijadikan bentuk jong termasuklah membuat bahagian atas jong atau ‘tudung’ jong.
Setelah dibentuk mengikut kategori jong yang dimahukan barulah proses menebuk dan membuang isi kayu dilakukan.
Bentuk jong terdiri daripada badan sampan, sauk, ganda katir, layar serta jongo. Semasa proses membuatnya, ukuran ganda katir haruslah sama agar dapat menyeimbangkan jong.
Ganda katir yang merupakan sebatang kayu lurus digunakan untuk memberi imbangan kepada jong akan dimasukkan ke dalam lubang yang telah dibuat di tengah-tengah jong.
Penggunaan ganda katir ini selalunya mengikut arah angin. Jika angin dari arah selatan, ganda katir akan dimasukkan dari kiri dan jika dari utara akan dimasukkan dari kanan jong.
Proses seterusnya adalah menyiapkan sauk, menghalusi badan jong dan akhirnya dilengkapkan dengan pemasangan layar jong.
Kain layar boleh menggunakan apa-apa jenis kain bagaimanapun kain terbaik ialah kain yang digunakan untuk membuat payung terjun agar tidak serap air dan ringan supaya dapat bergerak pantas.
Kongsinya, permainan jong itu bukan sahaja dimainkan di peringkat komuniti bahkan turut dipertandingkan di peringkat antarabangsa termasuklah di Singapura dan Indonesia dengan kebanyakan pertandingan diadakan di Indonesia.
Meskipun di negara jiran itu terdapat puluhan ribu jong, namun jong dari Kampung Linting tetap mendapat tempat dalam pertandingan.

“Kami pernah mendapat johan, naib johan juga 10 jong terbaik dalam pertandingan dianjurkan mengatasi Indonesia dan Singapura.
“Kami bersama persatuan jong Indonesia dan Singapura juga sedang membincangkan untuk mengetengahkan jong ini ke dalam Sukan SEA.
“Bahkan kita sedang membuat kertas kerja untuk diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Kita mahu sukan ini diperkembang ke seluruh Malaysia agar warisan budaya lama ini tidak pupus,” katanya.
Tambahnya, selain membuat jong untuk dipertandingkan, bengkelnya juga ada menerima tempahan pembuatan jong sebagai cenderamata.
“Bagi sebuah jong biasa, masa selama seminggu diambil untuk disiapkan manakala untuk cenderamata kami ambil masa agak lama sehingga 20 hari kerana memerlukan penelitian.
“Untuk cenderamata, elemen ukiran perlu ada untuk kelihatan lebih cantik. Tambahan pula, pembuatan secara manual menyebabkan mengambil masa agak lama untuk menyiapkannya,” katanya lagi.














