SHAH ALAM – Berat badan makin bertambah, namun terus memakai cincin yang dianggap tuah serta mempunyai kenangan menjadi penyebab berlakunya kes cincin tersangkut pada jari khususnya wanita.
Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menunjukkan sebanyak 60 kes direkodkan pada tahun lalu dan pada tiga bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 24 kes telah dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, rata-rata mangsa berusia 30 hingga 40 tahun dengan cincin yang dipakai telah lama berada pada jari mereka.
Katanya, kes berlaku apabila cincin itu telah rapat pada kulit sehingga membuatkan jari berkenaan membengkak dan sukar untuk ditanggalkan.
“Wanita apabila telah menyarung cincin tanpa pernah mengeluarkan pada jari beranggapan masih muat tanpa menyedari berlakunya pertambahan berat badan mereka walaupun sedikit.
“Apabila mereka membeli cincin baharu dan ketika ingin menanggalkannya didapati tersangkut sebelum pergi ke balai bomba bagi mendapatkan khidmat mengeluarkan cincin itu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambahnya, ada juga kes apabila mangsa lelaki memberitahu mereka memakai cincin kerana merupakan pusaka yang mampu memberikan kekuatan.
“Ini adalah lebih kepada cincin yang mempunyai batu tersendiri sebagai penghiasnya,” jelasnya.
Hafisham menegaskan, respon terhadap kes tersebut juga membuatkan banyak balai bomba melakukan inovasi kaedah mengeluarkan cincin tersangkut seperti penggunaan minyak, dawai dan pemotong cincin.
“Batang aiskrim adalah paling kerap digunakan dengan melapikkan cincin dan kulit ketika operasi pemotongan.
“Kita cuba mempercepatkan proses khidmat dengan berhati-hati kerana mengetahui kesakitan dialami mereka,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai kes cincin tersangkut pada kemaluan, beliau memberitahu trend itu sememangnya berlaku, namun pihaknya hanya menerima dua kes dalam tempoh tahun lalu hingga Mac tahun ini.
“Ia lebih kepada keseronokan dan kepuasan seksual dalam menunjukkan ‘kejantanan’ diri,” katanya. -K! ONLINE














