fbpx
Pihak polis sedang mengarahkan peserta perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersurai dalam kejadian di Kampung Muhibbah, Tawau semalam. -Foto oleh IVAN AMIRUL

Enam individu ditahan anjur perhimpunan PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali memaklumkan pihaknya bakal mengenakan tindakan tegas ke atas semua peserta perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Muhibbah, Tawau.

Hazani berkata, ia termasuklah kemungkinan turut dikenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

“Tindakan kumpulan berkenaan jelas melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan.

“Kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tindakan ini diambil berdasarkan Ordinan Darurat yang dilaksanakan dan ia adalah untuk keselamatan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kampung Muhibbah adalah salah satu lokaliti yang dikuatkuasakan PKP.

Penguatkuasaan PKP berkenaan sepatutnya tamat kelmarin tetapi dilanjutkan sehingga 8 Mei depan berikutan keadaan peningkatan kes yang signifikan.

Hal ini mengakibatkan semua penduduk di kampung berkenaan tidak dibenarkan keluar sehingga menjejaskan sumber pendapatan ramai pihak.

Malahan beberapa individu yang tidak berpuas hati menganjurkan perhimpunan aman semalam untuk menyatakan protes kepada keputusan yang dibuat pihak berkuasa.

Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa menahan enam individu selepas didapati melanggar SOP. – K! ONLINE