fbpx

Dua suspek kes curi lembu di Bachok ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lembu yang ditembak ubat pelali oleh kedua-dua suspek sebelum ia dimasukkan ke dalam lori di Bachok baru-baru ini.

BACHOK – Dua lelaki ditahan selepas mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri 17 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM35,000 di empat kawasan iaitu Jelawat, Telong, Melawi dan Tawang di sini.

Lelaki berusia 37 dan 46 tahun itu ditahan pada Selasa lalu selepas polis melakukan serbuan di kawasan semak Kampung Kemudu Bongkok dekat Permata Machang di sini kira-kira pukul 9 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Suprintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah menemui tujuh ekor lembu yang dipercayai dicuri di kawasan berkenaan.

“Kita sedang mengenal pasti pemilik lembu terbabit untuk siasatan lanjut.

“Ketika serbuan, kita mendapati lembu yang dicuri itu telah mati dipercayai akibat ditembak ubat pelali,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah menembak ubat pelali bagi mengelakkan haiwan itu menjadi liar sebelum ia dibawa naik ke atas lori.

Mohd. Yusrizal berkata, semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Katanya, siasatan mendapati suspek turut menjalankan kegiatan mencuri lembu di Pasir Puteh dan Terengganu.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan rakan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu untuk membantu siasatan.

Tambah Mohd. Yusrizal, kedua-dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI