fbpx

Sukuk Kelestarian selaras agenda WKB 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menyifatkan penerbitan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS akan terus meletakkan negara di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan serta berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian dengan jumlah nilai AS$1.3 bilion (RM5.34 bilion) adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara.

Menurutnya, berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian berkenaan.

“Keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali bagi sukuk tersebut dan saiz terbitan asal dinaikkan daripada AS$1.0 bilion (RM4.1 bilion) kepada AS$1.3 bilion (RM5.34 bilion).

“Ini jelas mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian itu turut membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh.

Beliau yakin sukuk itu juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya yang terlibat seperti Bank Negara yang telah bekerjasama di dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam,” katanya.

Pada 22 April lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS menerusi terbitan bertempoh matang 10 tahun dengan jumlah AS$800 juta (RM3.3 bilion).

Pada masa sama, kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun berjumlah AS$500 juta (RM2.06 bilion). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI