fbpx
Gambar hiasan

Penganggur didakwa pukul penghantar makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul seorang lelaki yang merupakan penghantar makanan dengan penukul Selasa lalu.

Tertuduh, Muhammad Aslam Hashim, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abdul Manap.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada Koay Eng Tat dengan cara memukul menggunakan sebatang penukul besi pada kepala mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu Blok P, Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua, Gelugor di sini kira-kira pukul 4 petang pada 20 April lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustakim Roslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang penghantar makanan terpaksa menerima sembilan jahitan pada kepala selepas dihentak dengan penukul besi oleh suami kepada pelanggannya di pekarangan sebuah pangsapuri di sini.

Pertengkaran di antara mereka berlaku selepas lelaki itu menuduh mangsa memarahi isterinya kerana lambat turun mengambil pesanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI