fbpx
Gambar hiasan.

NUTP mahu guru ada kontak rapat diberi cuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan memberi cuti kuarantin kepada guru yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 tanpa perlu menunggu surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, hal ini kerana surat tersebut memakan masa yang lama dan kuota cuti rehat khas (CRK) yang diperuntukkan kepada guru pula tidak mencukupi.

“Semua sedia maklum, kes penularan virus Covid-19 telah meningkat di negara kita dan semakin ramai individu yang telah dijangkiti wabak ini menyebabkan proses untuk mendapatkan surat kuarantin daripada PKD mengambil masa yang lama.

“Sedangkan kuota CRK yang diperuntukkan untuk guru-guru adalah tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan guru-guru yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 tiada pilihan lain selain perlu hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa.

“Apa yang paling membimbangkan wabak Covid-19 mungkin boleh menular dalam kalangan warga sekolah dan memberi risiko kepada murid-murid.

“NUTP berharap KPM dapat mengkaji perkara ini dan merumuskan jalan terbaik untuk membantu guru yang terkesan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 26 kluster melibatkan sekolah menengah, sekolah rendah dan pusat tahfiz serta madrasah dalam tempoh hampir tiga bulan ini. – K! ONLINE