fbpx

Hanya 1,516 individu pekerja p-hailing daftar SPS di NS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuad (kiri) menyerahkan bantuan faedah Perkeso kepada ibu bapa mangsa, Syamsiar H Saleh, 67, dan Amir Buyung, 68, ketika Program Penyampaian Sumbangan Perkeso di Taman Kota Indah, di sini, tadi.

REMBAU – Sehingga kini, hanya 1,516 individu yang bekerja di bawah perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) menggunakan motosikal atau p-hailing (parcel-hailing) telah berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di negeri ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, jumlah individu berdaftar berkenaan masih lagi kecil jika dibandingkan dengan jumlah sebenar bilangan individu yang bekerja di bawah sektor p-hailing di negeri ini.

Menurutnya, menerusi belanjawan 2021, kerajaan telah memberi 100 peratus bantuan kepada ‘Delivery Riders’ melalui SPS.

“Jika mendaftar sekarang (SKSPS), kerajaan membiayai caruman mengikut pelan caruman kedua iaitu perlindungan mengikut gaji RM 1550.00 sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun dan semua ‘Delivery Riders’ tidak perlu membayar apa-apa untuk perlindungan ini kerana telah dibiayai oleh kerajaan.

“Kadar ini jika dibayar sendiri juga tidak membebankan iaitu serendah RM13.10 sehingga RM 49.40 sebulan iaitu mengikut kadar gaji dari RM1,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya ketika Program Penyampaian Sumbangan Perkeso di Taman Kota Indah, di sini, tadi.

Pada program berkenaan, waris keluarga Jamaludin Amir, 36, iaitu orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sendiri sebagai penghantar makanan Grabfood disahkan meninggal dunia pada 15 April lalu selepas kira-kira seminggu kemalangan di Puchong, Selangor layak mendapat faedah Perkeso berupa Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM 406 setiap bulan yang diberikan kepada kedua ibu bapa arwah.

Fuad berkata, arwah walau bagaimanapun, tidak mendaftar dengan SKSP dan faedah yang diperoleh waris keluarga adalah dari caruman arwah sebelum bekerja sebagai penghantar makanan.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, pihaknya telah menerima lima kes kemalangan membabitkan individu bekerja dalam sektor p-hailing di mana hanya seorang individu sahaja yang layak menerima bantuan di bawah SPS kerana telah membuat pendaftaran di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, pencarum berkenaan telah terbabit dalam kemalangan di Pekan Salak, Nilai berpunca daripada sebuah kenderaan yang menukar arah secara mengejut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada lutut telah  mendapat cuti sakit dari 28 Februari hingga 4 Mei akan datang. Mangsa layak mendapat faedah di bawah skim berkenaan.

“Kita harap agar lebih ramai lagi individu yang bekerja sendiri khususnya di negeri ini supaya mendaftar dan mencarum dengan SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 untuk perlindungan mereka dan keluarga jika berlaku apa-apa musibah sewaktu melakukan aktiviti pekerjaan.

“Kita tidak mahu lihat berulangnya beberapa kes di mana waris penghantar makanan yang meninggal dunia tidak mendapat apa-apa pampasan kerana penunggang berkenaan tidak mencarum atau tidak memperbaharui caruman SKSPS mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI