SEKALI imbas, surau yang terletak di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur itu tidak banyak bezanya berbanding rumah ibadat Muslim lain di negara ini.
Surau dua tingkat dengan kapasiti 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu sering menjadi pilihan para mahasiswa dan pensyarah di UM untuk beribadah serta menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan keagamaan.
Hakikatnya, ramai tidak mengetahui bahawa surau terletak bersebelahan pusat sukan UM berkenaan dilengkapi pelbagai teknologi hijau dalam usaha pihak pengurusan melestarikan alam sekitar.
Menariknya, surau dinamakan Surau APIUM yang dibangunkan pada tahun 1996 itu mempraktikkan sepenuhnya konsep ekosurau hasil pembangunan dan penyelidikan sekumpulan penyelidik dari APIUM.
Ketua penyelidik, Dr. Asmawati Muhamad sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran pengguna surau terutamanya para mahasiswa mengenai konsep hijau yang cuba dipraktikkan pihaknya.
“Islam sentiasa mengajar umatnya supaya memelihara alam sekitar termasuk ketika ingin menunaikan ibadah. Malah, Rasulullah SAW sendiri hanya menggunakan air yang minimum untuk berwuduk.
“Seiring dengan itu, kami memilih untuk menterjemahkan akhlak dan budaya hijau yang terdapat dalam ajaran Islam sama ada al-Quran atau sunah di surau ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Pembangunan surau hijau berkenaan merupakan sebahagian projek penyelidikan University of Malaya Living Labs iaitu satu inisiatif UM melalui Kluster Penyelidikan Sains Kelestarian.
Menerusi projek penyelidikan tersebut, para penyelidik telah mendapat geran sebanyak RM20,000 untuk mentransformasi Surau APIUM.
Jelasnya, idea membangunkan konsep surau hijau diperoleh selepas dia bersama delegasi daripada UM telah menghadiri satu persidangan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Dalam persidangan tersebut, pihak delegasi UM sangat tertarik dengan konsep ekopesantren dibentangkan oleh seorang profesor dari Indonesia.
“Hasil input persidangan itu, kami semua sepakat untuk mencadangkan kepada pihak pengurusan UM bagi melakukan tranformasi terhadap Surau APIUM kepada konsep mesra alam.
“Proses menghijaukan Surau APIUM bermula pada tahun 2016 dengan kerjasama Imarah Eco Friend iaitu sekumpulan sukarelawan UM yang bertanggungjawab menjayakan projek ini,” tegasnya.
Nilai-nilai dalam konsep surau hijau telah lama dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW, walaupun terminologi ekomasjid atau ekosurau mula dipopularkan secara konseptual pada awal kurun ke-21.

Kamus Oxford mendefinisikan eco (eko) sebagai tidak membahayakan atau mencemarkan alam sekitar dan secara khususnya berkait aspek mesra alam.
Salah satu teknologi hijau diguna pakai di Surau APIUM ialah sistem penuaian air hujan (RWHS) bagi membolehkan air hujan dikitar semula untuk berwuduk pada 11 pili.
Ujar Asmawati, sistem berkenaan dibangunkan dengan kerjasama pakar-pakar penyelidik di UM sendiri iaitu kumpulan Water Warriors dengan kos sebanyak RM15,000.
Dia memberitahu, air hujan yang ditadah dari atas bumbung surau akan melalui proses penyaringan cahaya ultraungu bagi menghilangkan bakteria atau mikroorganisma lain sebelum boleh digunakan.
“Sistem ini dilengkapi dengan tangki yang mampu menampung air sebanyak 3,000 liter dengan penjimatan sebanyak 327,000 liter dari 2018 hingga 2020.
“Selain digunakan untuk berwuduk, air paip daripada RWHS ini juga boleh digunakan untuk menyiram pokok, mencuci lantai dan aktiviti membasuh kereta,” tegasnya.
Pihak pengurusan surau turut menggunakan produk penjimatan keluaran Mr. Thimble pada bahagian kepala paip untuk mengurangkan kadar kelajuan air.
Jumlah air paip biasa mengeluarkan 0.194 liter per saat, manakala dengan alat Mr. Thimble adalah 0.103 liter per saat iaitu penjimatan sekitar 53 peratus.
“Kami juga menukar lampu kalimantang kepada lampu LED berasaskan teknologi diod pemancar cahaya yang menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah.
“Sebanyak 285 buah lampu di dalam surau telah ditukar dengan lampu LED. Walaupun harganya lebih mahal berbanding lampu biasa tetapi penggunaannya memberikan manfaat jangka panjang,” jelasnya.

Pendingin hawa Surau APIUM pula hanya digunakan pada hari Jumaat bagi meminimumkan kesan rumah hijau. Ini kerana pendingin hawa mengeluarkan gas pencemaran yang menyumbang kepada pemanasan global.
Kumpulan penyelidik turut membangunkan pusat kitar semula dengan menyediakan tong berasaskan tiga kategori iaitu kertas, tin aluminium dan plastik.
Surau berkenan juga dilengkapi taman mini di tepi surau yang dipenuhi sayuran dan herba untuk keperluan dapur seperti pokok serai, kari, cili, halia, lengkuas serta ulam raja.
Hal ini kerana tumbuhan hijau adalah antara pendekatan yang sesuai untuk memperbaiki kualiti udara dan menurunkan haba persekitaran di samping memperindah kawasan.
Menurut Asmawati, pihaknya juga membuka Kedai Lestari di sebelah surau APIUM yang merupakan sebuah pusat pengumpulan barangan terpakai hasil sumbangan orang ramai.
Jelasnya, baju-baju berkenaan kemudian dijual dengan harga murah di kedai dan karnival atau disalurkan terus kepada golongan memerlukan secara percuma.

“Kedai Lestari dapat menjana pendapatan bagi tabung surau. Pada masa sama, ia menggalakkan orang ramai bersedekah dan mengelakkan pembaziran barang tidak digunakan,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Surau APIUM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff memaklumkan, projek memasuki fasa ketiga itu ternyata memberi impak positif terutamanya dalam meluaskan persepsi warga APIUM.
Katanya, pemilihan Surau APIUM sebagai fokus dalam gerak kerja University of Malaya Living Labs merupakan satu langkah signifikan dalam memberikan pendidikan alam sekitar dan sains kepada umat Islam.
“Surau atau masjid bukan sahaja perlu diimarahkan secara kerohanian (penganjuran kuliah fiqah, akidah atau ibadah sahaja), tetapi perlu diselarikan dengan tuntutan Islam. Antara tuntutan lain adalah amalan kebersihan, penghijauan persekitaran, penjimatan tenaga, penjimatan air dan pengurusan sisa secara sistematik,” katanya.
Tegas Zulkifli, secara umum, keadaan fizikal surau dan masjid di negara ini masih perlu ditambah baik dari aspek amalan kebersihan, keceriaan dan infrastruktur mesra alam.
Dia berharap, model ekosurau berasaskan penyelidikan kelestarian dibangunkan pihak UM itu wajar diketengahkan kepada masyarakat luar untuk dikembangkan pelaksanaannya.
“Kami telah mengeluarkan buku Garis Panduan Masjid Lestari Hijau berdasarkan pengalaman di Surau APIUM bagi menyampaikan maklumat asas untuk digunakan di masjid dan surau lain,” ujarnya.














