fbpx

Majikan, pembantu peribadi mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chee Yang (depan) dan Hin Voon hadir ke Mahkamah Majistret Klang untuk didakwa beberapa pertuduhan termasuk mencederakan pengawal peribadi, minggu lalu. FOTO ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Seorang ahli perniagaan dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan iaitu mencederakan, melakukan ugutan menggunakan pistol dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam terhadap pengawal peribadinya, minggu lalu.

Tertuduh, Chung Chee Yang dan Choo Hin Voon masing-masing berusia 43 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Chee Yang yang merupakan majikan kepada dua pengawal peribadi yang tular sebelum ini menghadapi lima pertuduhan.

Ini termasuk dua pertuduhan telah bersubahat dengan Hin Voon dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd. Azminizam Zulkepli, 44, dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan ( KK ).

Chee Yang yang terlibat dalam beberapa pelaburan termasuk hartanah itu juga dituduh menakutkan secara jenayah terhadap Mohd. Azminizam menggunakan sepucuk pistol dan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 506 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Bapa kepada empat orang anak itu turut didakwa dengan niat sengaja melukakan perasaan keagamaan orang lain dengan mengeluarkan perkataan seperti “U mau ikut saya kah Allah dan siapa bayar gaji, Allah kah saya”.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 298 KK, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Azminizam dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Hin Voon, 43, didakwa dua pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri dengan menggunakan senjata iaitu rotan.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam , Bandar Bukit Tinggi antara pukul 10.30 hingga 11.30 malam pada 13 April lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI