fbpx
Tindakan saman itu mewakili semua kanak-kanak yang pernah dan sedang menggunakan aplikasi TikTok sejak 25 Mei 2018, tidak kira sama ada mereka menggunakan fungsi tetapan privasi ataupun tidak. - Getty Images/BBC

TikTok berdepan saman kumpul dan guna data peribadi kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – TikTok berdepan dengan tindakan undang-undang kerana didakwa mengumpul dan menggunakan data peribadi kanak-kanak, lapor Badan Penyiaran British (BBC) hari ini.

Tindakan saman yang bakal dikenakan oleh seorang bekas pesuruhjaya kanak-kanak bagi England itu mewakili jutaan kanak-kanak di Britain dan Kesatuan Eropah (EU) yang menggunakan aplikasi perkongsian video tersebut.

Ia melibatkan semua kanak-kanak yang pernah dan sedang menggunakan aplikasi TikTok sejak 25 Mei 2018, tidak kira sama ada mereka menggunakan fungsi tetapan privasi ataupun tidak.

Jika disabit kesalahan, kanak-kanak yang terjejas boleh mendapatkan tuntutan wang tunai sehingga ribuan pound British.

Menurut peguam, TikTok mencuri maklumat peribadi kanak-kanak termasuk nombor telefon, video, lokasi sebenar dan data biometrik tanpa amaran yang mencukupi, ketelusan atau kebenaran yang diperlukan oleh undang-undang tanpa kanak-kanak dan ibu bapa mengetahui apa yang dilakukan dengan maklumat tersebut.

“Privasi dan keselamatan adalah keutamaan TikTok dan kami mempunyai polisi yang jelas, proses serta teknologi yang telah ditetapkan untuk membantu melindungi semua pengguna serta golongan remaja terutamanya.

“Kami percaya tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan kami komited untuk mempertahankan apa yang dipraktikkan selama ini,” ujar TikTok.

Sementara itu, bekas pesuruhjaya tersebut, Anne Longfield memberitahu BBC bahawa dia memberi fokus terhadap TikTok kerana daripada kesemua platform media sosial yang ada, TikTok mempunyai polisi pengumpulan data yang dianggap ‘berlebihan’.

“Syarikat induknya merupakan sebuah perkhidmatan pengumpulan data yang bersembunyi di sebalik platform media sosial, yang telah sengaja dan berjaya menipu ibu bapa.

“Semua ibu bapa mempunyai hak untuk mengetahui jenis maklumat rahsia yang dikumpul oleh TikTok untuk menyembunyikan kegiatan pengumpulan data mereka,” katanya.

TikTok mempunyai lebih daripada 800 juta pengguna di seluruh dunia dan syarikat induknya, ByteDance memperoleh keuntungan berbilion pada tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan pengiklanan. – Agensi