fbpx
Gambar hiasan.

KKM kesan 83 kluster libatkan sektor Pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebanyak 83 kluster Covid-19 dengan jumlah 4,868 kes melibatkan sektor Pendidikan telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula dari 1 Januari hingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59.04 peratus atau 49 kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif manakala 40.96 peratus atau 34 kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

“Daripada jumlah kluster berkenaan, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori Sekolah atau Institusi Kementerian Pendidikan (KPM).

“Selain itu, terdapat 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi manakala 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adham berkata, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan hasil penilaian risiko oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Menurutnya, penutupan sementara itu bertujuan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti.

“Apabila pihak KKM, sama ada PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan daripada PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

“PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi juga dijalankan,” katanya.

Katanya, KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan menangani penularan jangkitan. -K! ONLINE