fbpx

Cadangan kompaun sekolah abai SOP hingga cetus kluster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD. JALIL Hassan pada Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Keputusan mengeluarkan kompaun kepada pihak sekolah yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) hingga mencetuskan kluster baharu Covid-19 masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan bagi pertimbangan dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

“Kalau boleh kita (pihak polis) cuba elak daripada mengeluarkan kompaun, tetapi kalau kesalahan itu berlaku depan mata, tindakan perlu juga diambil.

“Dengan keadaan (ekonomi) ketika ini, kita faham jika (kompaun) dikeluarkan, susah juga untuk bayar, jadi kalau boleh elak (keluarkan kompaun), kita elak.

“Jika semua pihak, terutamanya ibu bapa boleh faham dan patuh dengan SOP ditetapkan, kita boleh pastikan perkara ini (kluster baharu Covid-19 di sekolah) tidak berlaku di Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri di sini hari ini.

Mesyuarat siri pertama bagi tahun 2021 disertai Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan pegawai kanan dari PDRM dan JPN Pahang.

Sementara itu, mengulas mengenai isu sama, Mohammad Rosli menegaskan bahawa semua pengetua dan guru besar di Pahang perlu mengikuti surat pekeliling dikeluarkan JPN mengenai garis panduan dan pengendalian sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Arahan itu sudah jelas dan kita bukan sahaja mengharapkan kerjasama pihak sekolah, tetapi paling penting ialah ibu bapa kepada murid atau pelajar itu sendiri.

“Kalau anak demam atau ada gejala seperti batuk atau demam atau selesema, tidak perlu hantar ke sekolah, jangan bergantung sangat dengan bacaan pada pengimbas suhu kerana ia bukanlah tepat.

“Kita tidak mahu tercetus kluster atau masalah lain, bukan sahaja Covid-19, penyakit lain pun mudah merebak jika kita biarkan anak yang tidak sihat datang ke sekolah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI