fbpx
GAMBAR HIASAN

Belanja berhemah, elak budaya boros

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BERBAKI 21 hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan pastinya segala persiapan telah dilakukan lebih awal sebelum Ramadan.

Ada juga yang mengambil ke­sempatan membeli barang keperluan lebih awal agar dapat memberi tumpuan untuk mela­kukan ibadah puasa.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada yang membuat pembe­lian dan persediaan di saat akhir pada bulan Ramadan

Walau apapun caranya, ma­sing-masing akan sibuk berbelanja untuk membeli pelbagai keperluan menjelang musim perayaan.

Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk berbelanja lebih sempena perayaan bagi meraikan hari istimewa bersama keluarga, namun ia harus dikawal agar tidak membuat pembelian yang ‘melampau’.

Kita harus sedar bahawa per­belanjaan besar telah dibuat untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang jaraknya hanya selang sebulan.

Oleh itu, perancangan per­be­lanjaan bagi kedua-dua bulan itu harus dilakukan dengan bijaksa­na agar tidak pokai selepas hari raya.

Bagi seorang suri rumah, Nur Hafizah Musa, 39, dia telah me­rancang perbelanjaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak awal tahun lagi bagi memastikan segala keperluan dapat dibeli tanpa pembaziran.

“Saya telah buat tabungan khas untuk keperluan hari raya dan menyenaraikan barang yang bakal dibeli agar tidak berlebihan ketika berbelanja.

“Selain itu, saya juga membeli beberapa barangan lebih awal sedikit demi sedikit supaya tidak melakukan perbelanjaan besar dalam masa yang sama,” kata ibu kepada lima orang cahaya mata itu.

Terangnya lagi, persiapan raya tetap meriah seperti biasa bagi meraikan keluarga dan sahabat handai walaupun kita masih berhadapan dengan Covid-19.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, perancangan awal sangat pen­ting supaya seseorang itu dapat berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan.

“Secara psikologinya, kita akan berbelanja lebih pada bulan Ramadan dan perayaan apatah lagi ia disambut setahun sekali sehingga membuatkan kita berasa tidak kesah untuk membeli sesuatu sempena meraikannya.

“Namun, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu membuat kira-kira dan mengukur tahap kemampuan dengan pendapatan diperolehi agar kelak tidak dibebani hutang,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah beliau, ekoran pandemik Covid-19, pembelian secara online semakin rancak dan akti­viti tersebut melonjak naik apabila tiba musim perayaan.

Oleh itu, disiplin diri penting agar tidak boros berbelanja apatah lagi kini kita boleh membeli dengan lebih mudah dengan hanya dihujung jari.

Beliau turut memberitahu, pembelian dipengaruhi oleh pelbagai faktor psikologi yang sangat subjektif seperti keluarga dan pengaruh sekeliling terutama media sosial.

“Sebagai contoh, anak remaja akan lebih tertarik untuk membeli sesuatu seperti diperlihatkan oleh influencer di media sosial.

“Justeru, perancangan dan kawalan pembelian sangat pen­ting supaya tidak boros ber­belanja serta ukur baju di badan sendiri,” ulasnya lagi. -K! ONLINE

BERITA BERKAITAN