fbpx

Bayi ditemui mati tersepit besi katil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JITRA – Seorang bayi berusia tujuh bulan ditemui mati dipercayai akibat tersepit besi katil di sebuah asrama kebajikan di Jitra dekat sini semalam.

Sumber memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 7 hingga 8 malam ketika dua petugas di asrama tersebut sedang berbuka puasa.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, terdapat dua petugas di situ terdiri daripada individu lelaki berusia 43 tahun dan wanita berumur 60 tahun.

“Bayi itu dikatakan ditinggalkan petugas berkenaan di atas katil dalam keadaan terbaring bersama bantal di kiri dan kanan kerana kedua-dua mereka hendak berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib.

“Selesai solat, petugas wanita tersebut memeriksa kawasan asrama tersebut dan mendapati mangsa tersepit dalam keadaan kepalanya tersangkut pada celah besi katil,” katanya.

Asrama tersebut difahamkan dihuni oleh 26 kanak-kanak berusia antara 22 hari hingga 15 tahun dengan rata-rata mereka merupakan orang kelainan upaya serta mengalami masalah kesihatan.

Bayi itu dikatakan dihantar ke asrama tersebut untuk jagaan sementara sejak 1 April lalu kerana ibu bapanya ditahan berkaitan kes dadah.

Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa mungkin merangkak untuk cuba keluar dari katil tersebut menerusi celah besi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh bayi yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.

“Begitu pun kedua-dua petugas terbabit ditahan bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mayat bayi dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu namun enggan mengulas lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI